NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda Wawasan gesa tangguh pengguguran syarat ekuiti Bumiputera



SHAH ALAM - Pemuda Wawasan Negara (Wawasan) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengguguran syarat minimum 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta.

Ketuanya, Muhammad Faiz Rahman berkata, pihaknya memandang serius keputusan Kementerian Pendidikan itu kerana ia menyentuh penyertaan ekonomi Bumiputera yang memerlukan alasan terperinci serta penilaian impak yang jelas.

Menurutnya, alasan kerajaan bahawa langkah berkenaan bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan masih terlalu umum.

“Kerajaan perlu menerangkan sejauh mana syarat berkenaan menghalang perkembangan institusi, apakah manfaat penggugurannya kepada pelajar dan bagaimana kedudukan pengusaha serta pemilik Bumiputera akan dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

 Muhammad Faiz berkata, Pemuda Wawasan berpandangan, pegangan Bumiputera masih wajar dan relevan kerana pembangunan ekonomi perlu merangkumi peluang memiliki aset, menikmati pulangan pelaburan dan mengambil bahagian dalam keputusan perniagaan.

Tambah beliau, dalam sektor pendidikan, pemilikan yang bermakna boleh membina keupayaan pengusaha, pengalaman pengurusan dan rangkaian kerjasama yang berkekalan.

Beliau menegaskan, penyertaan Bumiputera sebagai pelajar dan pekerja perlu berkembang seiring dengan peluang menjadi pemilik serta pengusaha, manakala pegangan ekuiti adalah instrumen penting untuk mencapai matlamat berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz mengakui pelaksanaan dasar mesti adil kepada semua pengusaha, namun masalah seperti pemegang saham atas nama, ketirisan dan manfaat yang tertumpu kepada kelompok tertentu perlu ditangani secara tegas.

“Pemilikan Bumiputera mesti membawa manfaat yang lebih luas, termasuk kepada pengusaha pendidikan yang sedang membina keupayaan.

"Pengguguran syarat pemilikan tanpa mekanisme pengganti yang jelas hanya menimbulkan persoalan tentang hala tuju pemerkasaan ekonomi Bumiputera,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengguguran menyeluruh sehingga penilaian impak dan mekanisme perlindungan penyertaan Bumiputera dibentangkan.

Beliau turut menuntut kerajaan menerbitkan data pemilikan institusi pendidikan swasta mengikut kategori dan skala, termasuk penilaian kesan syarat ekuiti terhadap pelaburan, pengusaha dan pelajar.

Selain itu, beliau mahu syarat 30 peratus bagi kategori yang sebelum ini tertakluk kepadanya dipertahankan sepanjang semakan, dengan pertimbangan pengecualian yang telus dan berasas mengikut keadaan institusi.

Muhammad Faiz turut menuntut kerajaan memperbaiki pelaksanaan melalui pembiayaan, padanan rakan kongsi dan audit pemilikan sebenar, disertai ukuran manfaat yang jelas serta semakan berkala.



Sumber | Sinar Harian





 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo