SHAH ALAM – Pemuda Pas menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan rasional sebenar serta membentangkan pelan alternatif susulan pemansuhan syarat pegangan 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) di bawah kementerian itu.
Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda Pas, Mohammad Kamal Mohamed berkata, kenyataan KPM bahawa keputusan tersebut dipersetujui selepas perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut menimbulkan persoalan.
Menurut beliau, percanggahan kenyataan antara kedua-dua kementerian itu memberikan gambaran bahawa keputusan berkenaan dibuat tanpa penelitian menyeluruh.
“Pemuda Pas ingin menegaskan bahawa sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan Bumiputera perlu diuruskan melalui proses libat urus yang menyeluruh.
“Ia tidak boleh dilaksanakan tanpa proses yang betul hanya dengan mengambil kira pandangan beberapa pihak semata-mata.
“Apatah lagi apabila wujud percanggahan kenyataan antara kementerian yang memberikan gambaran negatif terhadap proses membuat keputusan dan penyelarasan dasar di bawah Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi diwajibkan bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kementerian tersebut.
Menurut kenyataan KPM pada Isnin, keputusan berkenaan dicapai selepas sesi perbincangan dengan MITI.
Bagaimanapun, MITI kemudiannya menjelaskan bahawa kementerian itu tidak terlibat dalam perbincangan mengenai pemansuhan syarat ekuiti Bumiputera tersebut.
Mengulas lanjut, Mohammad Kamal berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan yang lebih menyeluruh berhubung rasional pemansuhan syarat pegangan ekuiti tersebut.
Menurutnya, KPM juga perlu tampil dengan pelan tindakan alternatif bagi memperkukuh kepentingan Bumiputera selepas dasar itu dimansuhkan.
“Malah, KPM wajar bertanggungjawab mengemukakan langkah-langkah yang akan diambil untuk terus memperkasakan kepentingan Bumiputera susulan pemansuhan syarat ekuiti tersebut.
“KPM tidak seharusnya memandang ringan perkara ini atau bersikap acuh tak acuh terhadap implikasi dasar yang dibuat,” katanya.
Sumber | SinarHarian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment