NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aset tetap pendidikan swasta RM21 bilion, Dr Anuar persoal berapa milik Bumiputera



BANGI, 11 RABIULAKHIR — Angka pertumbuhan industri pendidikan swasta tersedia hingga ke nilai aset tetapnya yang mencecah RM21 bilion pada 2022. Namun, angka itu belum menunjukkan berapa banyak aset dan ekuiti dalam industri berkenaan yang dimiliki Bumiputera.

Jurang itu antara fokus Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad, ketika kerajaan mengubah syarat pemilikan bagi syarikat pengendali institusi pendidikan swasta tertentu.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia yang dirujuk beliau, jumlah pertubuhan perkhidmatan pendidikan swasta meningkat daripada 11,722 pada 2015 kepada 18,242 pada 2022.

Dalam tempoh sama, hasil sektor itu meningkat daripada RM15.2 bilion kepada RM24.1 bilion, manakala nilai aset tetap bertambah daripada RM14.3 bilion kepada RM21 bilion. Jumlah pekerja pula meningkat daripada 134,361 kepada 186,354 orang.

Angka tersebut menunjukkan pertumbuhan keseluruhan sektor perkhidmatan pendidikan swasta. Bagaimanapun, angka itu tidak memperincikan bahagian aset dan ekuiti yang dimiliki Bumiputera.

“Apabila sesebuah sektor industri mencapai skala sedemikian, satu persoalan menjadi relevan untuk diutarakan, siapakah yang memiliki industri tersebut?” soal Dr Anuar dalam kenyataan media.

Menurut beliau, perbincangan tentang Bumiputera dalam pendidikan lazimnya tertumpu kepada akses pendidikan, latihan, graduan dan pekerjaan. Semua itu penting, tetapi pemilikan modal perlu turut diberi perhatian apabila pendidikan swasta berkembang menjadi industri bernilai besar.

“Maka, persoalan yang wajar dikemukakan bukan sekadar berapa ramai Bumiputera bekerja dalam industri pendidikan swasta, tetapi sejauh mana Bumiputera mempunyai pemilikan dalam industri pendidikan swasta?” katanya.

Dr Anuar turut membangkitkan persoalan tentang nilai aset pendidikan swasta milik Bumiputera, jumlah syarikat pendidikan dan teknologi pendidikan yang mereka miliki, serta nilai ekuiti dalam syarikat berkenaan.

“Persoalan ini tidak dapat dijawab dengan data pendidikan biasa kerana statistik pendidikan lazimnya hanya mengukur bilangan pelajar, guru, institusi dan pencapaian,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya data pemilikan Bumiputera dalam industri pendidikan swasta diwujudkan. Antara perkara yang boleh diukur ialah nilai aset dan ekuiti syarikat, jumlah institusi milik Bumiputera, nilai pelaburan serta kadar pertumbuhan syarikat mereka.

Menurutnya, data tersebut akan membantu kerajaan menilai sama ada dasar pemerkasaan ekonomi Bumiputera benar-benar menghasilkan perubahan dalam struktur pemilikan industri atau hanya meningkatkan penyertaan sebagai tenaga kerja.

“Tanpa data itu, perdebatan tentang pemilikan Bumiputera mudah menjadi sekadar andaian,” katanya.

Persoalan Dr Anuar itu timbul selepas Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan pada 21 September bahawa syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta di bawah kementerian itu.

Bagi beliau, persoalan tentang masa depan industri pendidikan swasta tidak berhenti pada siapa yang mendapat peluang belajar atau bekerja, tetapi turut melibatkan siapa yang akan memiliki hasil pertumbuhannya.


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo