NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu ‘Madu atau Racun’ : Platform digital, Penstriman tidak sepatutnya kalis undang-undang – WAFIQ



  • “Kontroversi ini jelas menuntut penjelasan yang jelas tentang pihak yang menyemak kandungan, piawaian yang digunakan dan tindakan apabila timbul aduan. Panduan industri untuk kandungan dalam talian memang sudah wujud. Persoalannya ialah sama ada panduan tersebut cukup jelas, dilaksanakan secara konsisten dan disokong mekanisme aduan yang berkesan.
  • “Dalam kemelut kekeliruan gender dan seksualiti yang melanda masyarakat kini, tapisan perlu lebih ketat dan lebih meluas. Platform digital atau penstriman sepatutnya tidak kalis undang-undang,” – Presiden WAFIQ, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar

KUALA LUMPUR — Kontroversi membabitkan drama Madu atau Racun menuntut penjelasan jelas mengenai pihak yang bertanggungjawab menyemak kandungan, piawaian yang digunakan serta tindakan yang diambil apabila timbul aduan, kata Presiden WAFIQ, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Beliau berkata, meskipun panduan industri bagi kandungan dalam talian sudah wujud, persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada panduan berkenaan cukup jelas, dilaksanakan secara konsisten dan disokong oleh mekanisme aduan yang berkesan.

“Kontroversi ini jelas menuntut penjelasan yang jelas tentang pihak yang menyemak kandungan, piawaian yang digunakan dan tindakan apabila timbul aduan. Panduan industri untuk kandungan dalam talian memang sudah wujud. Persoalannya ialah sama ada panduan tersebut cukup jelas, dilaksanakan secara konsisten dan disokong mekanisme aduan yang berkesan.

“Dalam kemelut kekeliruan gender dan seksualiti yang melanda masyarakat kini, tapisan perlu lebih ketat dan lebih meluas. Platform digital atau penstriman sepatutnya tidak kalis undang-undang,” katanya kepada The Merdeka Times mengenai isu drama Madu atau Racun.

Menurut Prof Rafidah, perkembangan kandungan menerusi platform digital dan penstriman memerlukan mekanisme kawal selia yang mampu memastikan pemain industri turut tertakluk kepada undang-undang serta piawaian kandungan yang ditetapkan.

Beliau berpandangan, nilai masyarakat dan kerangka undang-undang di Malaysia berkaitan hubungan sejenis sudah memberikan asas yang mencukupi untuk pihak berkuasa memperketatkan tapisan terhadap kandungan sedemikian, bukannya melonggarkannya.

Sehubungan itu, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM/MCMC) perlu mewujudkan akta baharu bagi mengawal selia kandungan yang dipaparkan menerusi platform televisyen penstriman.

Menurut beliau, kawal selia itu tidak seharusnya terbatas kepada bahan yang ditayangkan semata-mata, malah perlu merangkumi tindakan terhadap pemain industri yang terbabit.

“Sebenarnya nilai masyarakat dan undang-undang kita di Malaysia terhadap perbuatan hubungan songsang lebih daripada cukup untuk memberi kekuatan kepada kita memperketatkan tapisan, bukan melonggarkannya.

“Jadi SKMM/MCMC perlu mewujudkan akta baharu yang mengawal selia bahan paparan di TV penstriman ini yang bukan sahaja melibatkan tayangan, tetapi termasuk tindakan ke atas pemain industri,” katanya.

Mengulas secara khusus penggambaran hubungan sejenis dalam drama tempatan, Prof Rafidah berkata WAFIQ berpendirian bahawa karya hiburan mempunyai tanggungjawab sosial, terutama apabila kandungan berkenaan boleh diakses oleh generasi muda.

Menurut beliau, kebebasan berkarya tidak seharusnya dilihat secara terasing daripada nilai agama, budaya serta kepentingan pendidikan dalam masyarakat.

WAFIQ, katanya, memandang serius sekiranya hubungan sejenis dipersembahkan secara romantik atau dengan pendekatan yang boleh mengajak penonton menerimanya sebagai sesuatu yang selaras dengan nilai kehidupan Muslim.

“Pengkarya boleh membicarakan realiti sosial yang sukar, tetapi biarlah secara kreatif. Tidak perlu adegan murahan memaparkan seksualiti secara terperinci kerana ia lebih kepada satu bentuk rangsangan seksual kepada penonton. Teknik ini memang telah lama menjadi rencah filem Barat,” katanya.

Prof Rafidah turut membangkitkan kebimbangan bahawa paparan visual dan dialog lucah berkaitan seks sejenis boleh akhirnya bertindak sebagai satu bentuk “pendidikan” kepada penonton sehingga perkara tersebut menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Menurutnya, keadaan itu boleh membawa kepada proses normalisasi apabila sesuatu perlakuan atau bentuk hubungan dipaparkan berulang kali kepada khalayak.

Dalam kenyataan sama, Prof Rafidah turut membangkitkan perkembangan kawal selia platform penstriman di United Kingdom sebagai perbandingan terhadap keperluan pengawasan kandungan digital.

Beliau berkata, pada awal tahun ini, Netflix, Prime Video milik Amazon dan Disney+ bakal tertakluk kepada kawal selia lebih ketat oleh badan pengawal selia media United Kingdom, Ofcom.

Menurutnya, langkah itu akan meletakkan platform penstriman terbabit di bawah tahap pengawasan yang sama seperti penyiar tradisional, termasuk BBC dan ITV.

Beliau berkata, di bawah kerangka kawal selia baharu itu, yang turut merangkumi perkhidmatan video atas permintaan penyiar perkhidmatan awam seperti ITVX dan Channel 4, platform terbabit perlu mematuhi peraturan mengenai ketepatan dan ketidakberpihakan dalam penyampaian berita serta perlindungan penonton daripada kandungan berbahaya dan menyinggung perasaan.

Bagi WAFIQ, perkembangan sedemikian menunjukkan platform digital dan penstriman tidak sewajarnya dibiarkan beroperasi tanpa tahap pengawasan yang sepadan dengan pengaruh serta keluasan capaian kandungan mereka.-The Merdeka Times






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo