- Pengarah drama bersiri Madu Atau Racun, Eyra Rahman menjelaskan beberapa babak yang dipaparkan dalam drama berkenaan hanya dihasilkan menggunakan teknik kamera atau cheat shot dan tidak semestinya membabitkan sentuhan sebenar antara pelakon.
- “Kita sajikan dengan jujur tetapi tidaklah sampai tunjuk adegan intim yang tidak sepatutnya. Kami pun tahu batas serta apa yang perlu dipatuhi atau sebaliknya,” katanya seperti dipetik HibGlam.
KUALA LUMPUR – Pengarah drama bersiri Madu Atau Racun, Eyra Rahman menafikan karya berkenaan sengaja mengetengahkan atau “menjual” babak hubungan sejenis selepas beberapa adegannya mencetuskan kritikan dalam kalangan pengguna media sosial.
Eyra berkata, produksi drama 12 episod itu sedar mengenai batas yang perlu dipatuhi dalam menghasilkan sesebuah karya, termasuk ketika membabitkan adegan sensitif.
Malah, beliau menjelaskan beberapa babak yang dipaparkan dalam drama berkenaan hanya dihasilkan menggunakan teknik kamera atau cheat shot dan tidak semestinya membabitkan sentuhan sebenar antara pelakon.
“Sebagai pengkarya kami juga mempunyai tanggungjawab untuk masyarakat, bukan menyajikan cerita kosong. Macam Madu Atau Racun, beberapa plot diketengahkan juga ada yang berasaskan cerita benar.
“Kita sajikan dengan jujur tetapi tidaklah sampai tunjuk adegan intim yang tidak sepatutnya. Kami pun tahu batas serta apa yang perlu dipatuhi atau sebaliknya,” katanya seperti dipetik HibGlam.
Beliau berkata demikian susulan kritikan terhadap beberapa babak melibatkan watak isteri pertama dan kedua dalam drama berkenaan yang menjadi perbualan hangat di media sosial.
Menurut Eyra, penonton seharusnya mengikuti keseluruhan jalan cerita sebelum membuat kesimpulan kerana drama tersebut ketika kontroversi tercetus baru memasuki episod keempat.
“Cuma apabila babak antara isteri pertama dan kedua itu lebih diperkatakan sekali gus menjadi topik hangat, bagi saya tontonlah dahulu kisah selanjutnya kerana sekarang baru memasuki episod empat,” katanya.
Eyra berkata pihak produksi memahami kebimbangan sebahagian penonton, namun menegaskan drama terbitan MIG Productions itu tidak dihasilkan bagi mencetuskan gimik atau kontroversi.
Katanya, pelbagai faktor sudah dibincangkan bersama barisan pelakon sebelum penggambaran dimulakan.
“Apa yang boleh saya katakan, kami bukan nak mencetuskan gimik mahupun kontroversi. Sebelum naskhah ini menjalani penggambaran, kita dah bincang pelbagai faktor termasuk dengan barisan pelakon.
“Masing-masing pun faham tugas mereka. Sebenarnya ada antara adegan hanya menggunakan ‘camera trick’ atau ‘cheat shot’. Kalau boleh saya pun tak mahu buat babak bersentuhan, kecuali aksi gaduh.
“Nak cakap kami sengaja tunjuk perkara songsang, semuanya ikut skrip, bukan melebih-lebih serta daring seperti didakwa,” katanya.
Eyra turut mengakui menerima kecaman susulan kontroversi berkenaan, namun memilih untuk tidak membalas komen yang dianggap menyentuh perkara sensitif bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.
“Saya terbuka menerima sebarang komen, cuma kalau sudah sentuh hal sensitif rasanya tidak wajar kalau dilayan. Kita ambil semuanya sebagai pengajaran,” katanya.
Terdahulu, drama yang ditayangkan menerusi platform penstriman iQIYI itu menjadi perhatian di media sosial selepas beberapa pengguna mendakwa terdapat babak yang mempunyai unsur hubungan sejenis.-The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment