BANGI, 7 RABIULAWAL — Sekali mungkin tersilap. Tetapi apabila kes pemasangan bendera terbalik terus dilaporkan, persoalannya bukan lagi sekadar siapa yang memasang, tetapi sejauh mana kita benar-benar peduli terhadap lambang negara dan negeri.
Tiga kes pemasangan bendera secara terbalik dilaporkan di Johor setakat ini, menurut polis.
Mungkin ada yang melihatnya sebagai kesilapan kecil.
Salah pasang, betulkan. Selesai.
Tetapi apabila perkara yang sama berlaku lagi dan lagi, wajarkah semuanya sekadar berlalu dengan alasan “tersilap”?
Bendera bukan hiasan bermusim yang hanya dikeluarkan apabila masuk bulan kemerdekaan.
Jalur Gemilang membawa identiti sebuah negara. Bendera Johor pula merupakan lambang negeri yang mempunyai sejarah, kedudukan dan protokolnya sendiri.
Sebab itu, soal memasang bendera tidak sepatutnya dibuat sambil lewa.
Tidak perlu hafal protokol yang panjang. Cukup ambil masa beberapa saat untuk melihat semula sebelum bendera digantung.
Betul atau terbalik?
Kedudukannya tepat atau tidak?
Kalau tidak pasti, semak.
Masalahnya, apabila kecuaian sekecil ini terus berulang, ia mula menimbulkan satu persoalan yang lebih besar, kita tidak tahu, atau kita sudah tidak kisah?
Ini bukan bermakna setiap bendera yang dipasang terbalik dilakukan dengan niat menghina.
Polis sendiri dalam kes terdahulu di Johor pernah memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian tertentu berpunca daripada kecuaian dan bukan berniat menghina.
Sebab itu, jangan mendahului siasatan. Jangan pula terus menuduh sesiapa mempunyai niat tertentu tanpa bukti.
Tetapi “tidak sengaja” juga bukan alasan untuk kita meremehkan perkara ini.
Kecuaian tetap kecuaian.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan simbol yang setiap tahun kita sendiri angkat, kibarkan dan jadikan lambang sambutan kemerdekaan.
Kita selalu bercakap tentang patriotisme.
Kita pasang bendera di rumah, premis, pejabat dan tepi jalan.
Tetapi patriotisme bukan sekadar berapa banyak bendera yang kita pasang.
Kalau mahu kibarkan Jalur Gemilang, sekurang-kurangnya pastikan kita tahu cara menghormatinya.
Sebab menghormati negara kadang-kadang tidak memerlukan ucapan yang panjang.
Ia bermula dengan perkara paling asas, pasang bendera dengan betul.
Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment