- Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI) 2026 disifatkan antara yang paling lemah di dunia selepas hanya memperoleh 47 daripada 150 mata atau 29 peratus dalam penilaian global Centre for Law and Democracy (CLD).
- Penilaian yang diterbitkan 12 Ogos itu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-137 daripada 142 negara yang mempunyai undang-undang hak kepada maklumat (RTI) atau kebebasan maklumat (FOI).
- Berdasarkan tujuh kategori penilaian CLD, RUU FOI Malaysia memperoleh hanya 17 peratus bagi hak akses, 40 peratus bagi skop, 13 peratus bagi prosedur permohonan, 17 peratus bagi pengecualian dan penolakan, 61 peratus bagi rayuan, 50 peratus bagi sekatan serta perlindungan dan 19 peratus bagi langkah promosi.
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI) 2026 disifatkan antara yang paling lemah di dunia selepas hanya memperoleh 47 daripada 150 mata atau 29 peratus dalam penilaian global Centre for Law and Democracy (CLD).
Penilaian yang diterbitkan 12 Ogos itu yang dipetik MalaysiaKini, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-137 daripada 142 negara yang mempunyai undang-undang hak kepada maklumat (RTI) atau kebebasan maklumat (FOI).
Tiga individu dan 38 organisasi yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, penilaian berkenaan mengukuhkan kebimbangan serius terhadap RUU FOI 2026 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada 13 Julai lalu.
Mereka menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengambil tindakan segera untuk menambah baik RUU berkenaan supaya selaras dengan undang-undang serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Menurut penilaian CLD yang dipetik dalam kenyataan itu, RUU berkenaan merupakan “usaha perundangan yang amat lemah” dan mencatat prestasi terendah di Asia Tenggara bersama Filipina, walaupun Filipina sedang menaik taraf perundangannya dalam bidang berkenaan.
Berdasarkan tujuh kategori penilaian CLD, RUU FOI Malaysia memperoleh hanya 17 peratus bagi hak akses, 40 peratus bagi skop, 13 peratus bagi prosedur permohonan, 17 peratus bagi pengecualian dan penolakan, 61 peratus bagi rayuan, 50 peratus bagi sekatan serta perlindungan dan 19 peratus bagi langkah promosi.
Kenyataan itu mendakwa RUU berkenaan masih mengekalkan keutamaan undang-undang kerahsiaan seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, berbanding mewujudkan hak orang awam untuk mengakses maklumat kerajaan serta budaya keterbukaan secara lalai.
Menurut mereka, kira-kira 165 undang-undang Persekutuan mengandungi peruntukan kerahsiaan, iaitu kira-kira 25 peratus daripada undang-undang Persekutuan substantif yang sedang berkuat kuasa.
Keadaan itu, menurut kenyataan berkenaan, berisiko menyebabkan sejumlah besar maklumat kerajaan kekal di luar akses dan penelitian awam yang bermakna.
CLD turut mengesyorkan supaya RUU itu menetapkan piawaian yang mengatasi semua peruntukan kerahsiaan lain, sehingga mana-mana peruntukan undang-undang lain yang tidak selaras dengannya tidak terpakai setakat percanggahan itu.
Kenyataan itu turut mempersoalkan senarai kategori maklumat yang dikecualikan yang disifatkan terlalu luas dan tidak disertai perlindungan penting seperti ujian kemudaratan menyeluruh, pengecualian berdasarkan kepentingan awam serta peruntukan pengasingan atau pemadaman maklumat.
Menurut mereka, keadaan itu boleh menyebabkan maklumat berkaitan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kemudaratan alam sekitar atau pencabulan hak asasi manusia kekal tersembunyi walaupun pendedahannya jelas demi kepentingan awam.
CLD, menurut kenyataan itu, mendapati terdapat banyak pengecualian dalam RUU yang tidak selaras dengan piawaian antarabangsa kerana melindungi kepentingan atau menetapkan kerahsiaan atas alasan yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.
RUU berkenaan turut dipersoalkan kerana memperkenalkan sekatan terhadap hak untuk memohon maklumat, termasuk mengehadkan akses kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas, penggunaan kad pengenalan negara serta keperluan menyatakan tujuan permohonan.
Menurut kenyataan itu, RUU berkenaan juga berpotensi menjadikan penggunaan seterusnya terhadap maklumat yang diperoleh secara sah sebagai suatu kesalahan jenayah.
Menurut CLD, sekatan tujuan itu merupakan “had yang amat besar” dan tidak diketahui dalam undang-undang RTI lain.
CLD turut menyifatkan skor hanya empat mata bagi kategori Prosedur Permohonan sebagai amat mengecewakan, dengan hanya satu lagi negara, Palau, mencatat prestasi serendah itu dalam kategori berkenaan.
Kenyataan itu menjelaskan, kewujudan liabiliti jenayah boleh memberi kesan menghalang orang awam daripada memohon maklumat kerajaan sejak awal.
RUU itu turut dikritik kerana cuba mengehadkan tafsiran kehakiman terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan bahawa tiada apa-apa dalam akta itu boleh ditafsirkan sebagai kebebasan asasi di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu menyifatkan peruntukan berkenaan sebagai membimbangkan dan mendakwa ia bertentangan dengan sejarah perkembangan undang-undang tempatan serta prinsip asas undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Ia turut membangkitkan kebimbangan terhadap kebebasan kehakiman dan pengasingan kuasa kerana dilihat cuba menafikan peranan mahkamah dalam mentafsir peruntukan Perlembagaan.
CLD, menurut kenyataan itu, mengesyorkan supaya hak untuk mengakses maklumat yang dipegang pihak berkuasa awam diiktiraf sebagai hak asasi, selain memansuhkan Fasal 6(2) dan 22.
Kenyataan itu turut mendakwa RUU berkenaan tidak menyediakan mekanisme pengawasan atau pentadbiran yang berkesan melalui sebuah pihak berkuasa bebas.
Di bawah RUU itu, ombudsman yang diwujudkan menerusi Akta Ombudsman akan menjalankan semakan luaran.
Bagaimanapun, ombudsman berkenaan masih belum wujud dan tiada kejelasan mengenai bila atau bagaimana jawatan itu akan diwujudkan, sekali gus menyebabkan kerangka FOI tidak mempunyai pengawasan luaran, menurut kenyataan itu.
CLD berpandangan akses kepada maklumat ialah bidang khusus yang memerlukan perhatian badan yang berdedikasi, selain menyatakan pengalaman pelbagai negara menunjukkan badan khusus seperti suruhanjaya maklumat lebih berkesan dalam menjamin hak kepada maklumat berbanding menyerahkan pengawasan kepada badan yang mempunyai mandat lebih umum.
Sehubungan itu, kenyataan tersebut menggesa RUU FOI menubuhkan Suruhanjaya Maklumat khusus bagi mengawasi pelaksanaan kerangka kebebasan maklumat.
Mereka menegaskan RUU FOI 2026 dalam bentuk semasa telah dikritik di peringkat nasional dan global serta tidak banyak membantu menangani budaya kerahsiaan yang berakar di Malaysia.
“Kita menegaskan bahawa RUU Kebebasan Maklumat 2026, dalam bentuknya sekarang, dikecam secara meluas di peringkat nasional dan global sebagai tidak memadai dan tidak banyak membantu menangani budaya kerahsiaan yang berakar di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Mereka berkata kerajaan berulang kali menyatakan komitmen untuk memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus, namun RUU berkenaan didakwa tidak mencerminkan hasrat tersebut.
PSSC kemudian digesa menjalankan semakan menyeluruh terhadap RUU itu dengan mengambil kira kritikan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan.
Kenyataan itu dikeluarkan Prishanth Linggaraj daripada C4 Center, Wathshlah Naidu daripada Centre for Independent Journalism dan Nalini Elumalai daripada Article, serta mendapat sokongan 38 organisasi dan 25 individu. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment