Beliau berkata, keupayaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyatukan undi dijangka mendatangkan cabaran besar buat PH.
Wong berkata, memandangkan sistem pilihan raya ketika ini tidak memberi kelebihan kepada parti pembangkang, PH mesti mengambil peluang atas kedudukannya dalam kerajaan semasa untuk melaksanakan reformasi yang akan mewujudkan medan persaingan politik yang lebih seimbang untuk semua parti.
Jika tidak, seandainya PH hilang kuasa pada PRU akan datang, peluangnya tipis untuk bangkit semula, tambahnya.
Wong berkata, keputusan PRU 2022 menunjukkan bahawa kira-kira 28 daripada 71 kerusi yang dimenangi oleh PH dan Muda berisiko jatuh ke tangan BN dan PN jika undi daripada penyokong kedua-dua gabungan tersebut disatukan.
“Ini berasaskan bahawa kadar mengundi dalam kalangan pengundi penyokong PH tidak berubah,” katanya semasa wawancara bersama Astro Awani hari ini.
“Tapi kalau kadar mengundi itu rendah seperti pada PRN Johor ataupun kurang daripada PRN Negeri Sembilan, maka kerusi yang dapat dikekalkan itu akan lebih rendah daripada 43.”
Wong berkata, PH tidak boleh menafikan cabaran yang dihadapinya, tetapi mesti mengenal pasti faktor di sebalik peningkatan keberkesanan politik identiti dalam menggembleng pengundi.
PH merupakan pengganti Pakatan Rakyat, yang dibentuk oleh PKR, DAP dan PAS. Selepas perpecahan dengan parti Islam itu, PKR, DAP dan Amanah, iaitu parti serpihan PAS, membentuk PH bersama-sama Bersatu pada 2015.
Gabungan itu menjadi pembangkang sehingga 2018, apabila ia memanfaatkan gelombang kebangkitan rakyat untuk menumbangkan BN yang telah memegang kuasa selama kira-kira 60 tahun.
Bagaimanapun, PH akhirnya tumbang apabila Bersatu membawa haluan sendiri sebelum membentuk kerajaan baharu bersama beberapa Ahli Parlimen PKR dan Umno.
PH kembali berkuasa selepas PRU 2022 dengan membentuk gabungan bersama BN serta parti-parti dari Malaysia Timur.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment