NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyatuan ummah atau sekadar penyatuan kerusi? – Sharipudin



BANGI, 11 RABIULAWAL — Kerjasama parti-parti Melayu dilihat masih berlegar pada pembahagian kerusi, bukannya membina agenda besar untuk umat.

Penasihat Kanan Politik dan Perundangan ISMA, Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada penyatuan yang dilaungkan benar-benar penyatuan ummah atau sekadar penyatuan kerusi.

Menurutnya, senario politik mutakhir masih samar kerana perbincangan yang berlangsung lebih banyak tertumpu pada jumlah kerusi yang bakal diperoleh setiap parti.

“Perbincangan yang berlaku sepanjang kempen penyatuan ummah tidak lebih daripada penentuan bilangan kerusi.

“Tiada agenda penyatuan ummah secara mendasar dan kuat. Kenyataan yang keluar di media oleh pimpinan hanya mengenai kerjasama politik yang bersimpang-siur,” katanya.

Sharipudin berkata, bentuk kerjasama yang berubah-ubah turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar penyatuan tersebut.

Katanya, ada parti yang mahu bergerak sendiri, ada yang mahu bekerjasama, manakala hubungan antara parti pula berubah mengikut keadaan.

“Satu ketika kerjasama parti A dan parti B. Satu ketika parti A dengan parti C. Parti B pula mengugut mahu keluar daripada kerjasama yang sedia ada.

“Jadi, macam filem Keluarga 69. Adakah ini agenda penyatuan ummah?” soalnya.

Beliau berkata, penyatuan ummah tidak sepatutnya berhenti pada rundingan kerusi atau strategi untuk mengekalkan kuasa.

Sebaliknya, parti-parti Melayu perlu membina gagasan bersama bagi memperkukuh kedudukan umat dalam menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial pada masa hadapan.

“Penyatuan ummah sepatutnya mempunyai gagasan besar. Bagaimana mahu membina kekuatan ummah dan menentukan kelangsungannya dalam menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial dan lain-lain?

“Sepatutnya bengkel dan forum telah dimulakan untuk membina agenda ummah yang lebih besar dan meluas,” katanya.

Sharipudin turut mengingatkan bahawa kerjasama yang dibentuk atas pertimbangan pilihan raya semata-mata berisiko kembali berpecah selepas memperoleh mandat rakyat.

Katanya, pertikaian boleh muncul semula apabila parti-parti yang bekerjasama mula membincangkan pembahagian jawatan menteri serta kuasa di peringkat bawahan.

“Tidak mustahil penyatuan yang sedang diikat sekarang ini hanyalah ikatan rapuh dan kembali berpecah selepas mendapat mandat rakyat pada PRU nanti.

“Akhirnya, hanya ada dua agenda utama untuk satu penggal pilihan raya, iaitu pembahagian kerusi DUN atau Parlimen dan pembahagian jawatan menteri,” katanya.

Beliau berkata, laungan memperjuangkan dan membela ummah tidak seharusnya hanya muncul ketika pilihan raya semakin hampir, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui perancangan yang jelas serta berpanjangan.

Isu penyatuan ummah kembali menjadi perhatian susulan perkembangan kerjasama politik antara UMNO dan PAS menjelang pilihan raya akan datang.

Jumaat lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerjasama antara kedua-dua parti sekiranya dapat direalisasikan bukan sekadar melibatkan pembahagian kerusi, sebaliknya membawa tanggungjawab memimpin penyatuan nasional.


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo