NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kuala Lumpur semakin moden, tetapi identiti asalnya kian terhakis – ISMA



BANGI, 11 RABIULAWAL — Kuala Lumpur terus berkembang sebagai pusat pentadbiran, perdagangan dan pembangunan negara, namun identiti asal ibu kota itu dibimbangi semakin terhakis dalam arus pemodenan.

‎Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, tekanan pembangunan bandar telah mengubah landskap penempatan, selain menghilangkan nama dan identiti asal tempat yang mempunyai nilai sejarah.

‎Menurutnya, keadaan itu turut memberi kesan kepada warisan budaya yang membentuk wajah asal Kuala Lumpur serta kehidupan masyarakat Melayu-Islam di ibu negara.

‎“Perubahan ini turut menghakis ekosistem kehidupan Islam yang dibina atas asas keluarga, masjid, budaya ilmu dan semangat kejiranan.

‎“Kehidupan bandar yang semakin individualistik menyebabkan hubungan sesama masyarakat dan tanggungjawab sosial semakin longgar.

“Ini melemahkan penghayatan nilai-nilai syariah seperti ukhuwah, amanah, ihsan dan ta’awun,” katanya dalam kenyataan.

‎Beliau berkata, sekiranya keadaan tersebut berterusan, Kuala Lumpur bukan sahaja berisiko kehilangan identiti sejarahnya, malah turut kehilangan roh sebuah kota yang dibangunkan atas asas Peradaban Ummah.

‎Kebimbangan itu menjadi antara sebab ISMA memilih tema “Kuala Lumpur: Nadi Peradaban Ummah” bagi Kempen Kemerdekaan 2026.

‎Ustaz Shuhaib menjelaskan, Kuala Lumpur dipilih sebagai titik tumpuan kerana kedudukannya sebagai ibu negara dan wajah Malaysia, manakala perkembangan yang berlaku di kota itu akan membentuk arah pembangunan negara pada masa hadapan.

‎Dari sudut sejarah, Kuala Lumpur yang diasaskan oleh Raja Abdullah berkembang daripada sebuah penempatan di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak sebelum muncul sebagai pusat pentadbiran, perdagangan dan pembangunan negara.

‎Perkembangan Kuala Lumpur turut didukung pelbagai lapisan masyarakat, terutama institusi Melayu dan Islam yang membentuk identiti awal bandar tersebut.

‎Bagaimanapun, ISMA berpandangan sebahagian naratif sejarah berkenaan semakin kurang diberikan perhatian sehingga menghakis kefahaman masyarakat terhadap sejarah pembentukan Kuala Lumpur.

‎Justeru, gerakan Islam itu menegaskan pembangunan masa depan Kuala Lumpur perlu berasaskan identiti asalnya sebelum era penjajahan dengan meneruskan proses dekolonisasi pascakemerdekaan.

‎Usaha itu termasuk memelihara hak dan keberadaan masyarakat Melayu-Islam sebagai masyarakat asal Kuala Lumpur, memperkukuh kedudukan Islam sebagai asas pembinaan masyarakat serta memastikan pembangunan bandar berlangsung mengikut acuan tempatan.

‎Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, ISMA akan melaksanakan tiga inisiatif utama, iaitu Suara Komuniti Kuala Lumpur, KL Ideas dan Muzium Peradaban Malaysia Virtual.

‎Suara Komuniti Kuala Lumpur akan menghimpunkan aspirasi serta cadangan warga kota untuk diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, manakala KL Ideas menjadi forum perbincangan mengenai hala tuju dan masa depan ibu negara.

‎Muzium Peradaban Malaysia Virtual pula merupakan platform digital yang mendokumentasikan sejarah, warisan dan identiti peradaban negara sebagai sumber rujukan serta pendidikan kepada masyarakat.

‎Sebanyak 46 cawangan ISMA di seluruh negara turut menjalankan program komuniti, termasuk dialog kejiranan, gotong-royong, ziarah masyarakat, aktiviti keluarga, diskusi ilmu, projek sukarelawan dan kempen kesedaran.

‎ISMA turut bekerjasama dengan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bagi menjayakan kempen berkenaan.


Sumber | TV Pertiwi





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo