“Bukan kerana nilai sebuah tongkat, dan bukan kerana taksub kepada manusia. Tetapi kerana ia akan menjadi kenangan dan peringatan sepanjang hidup saya,” jelas beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata demikian susulan tindakannya membida tongkat Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan bidaan RM16,500 dalam Majlis Makan Malam Amal PAS Negeri Melaka di Hotel Mudzaffar di sini semalam.
Menurut Muqharabbin, tongkat tersebut mempunyai nilai kenangan tersendiri yang menjadi peringatan kepada dirinya sepanjang menjalani kehidupan.
“Malam tadi menjadi antara momen terindah buat saya, dapat berada dekat dengan seorang murabbi, serta dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada perjuangan PAS Melaka dan PAS Malaysia.
“Namun paling penting, tongkat ini menjadi ingatan keras kepada diri saya sendiri. Hari ini masih kuat, masih mampu berjalan, mampu mendaki puncak tertinggi, mampu berlari 50km, mampu berkayuh keliling dunia, bekerja dan berjuang.
“Tetapi kekuatan itu tidak akan kekal selamanya. Jika Allah panjangkan usia, suatu hari nanti saya juga akan tua dan mungkin akan bertongkat,” jelas mantan EXCO Pemuda Umno Malaysia itu.
Beliau yang juga bekas pemimpin BERSATU turut mengemukakan peringatan melalui firman Allah SWT dalam Surah Yasin ayat 68 berkaitan perubahan keadaan manusia apabila usia dipanjangkan.
“Justeru, selagi Allah beri usia dan kudrat, berjuanglah walau di mana kita berada. Jangan tunggu sehingga kita sudah tidak mampu.
“Tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah. Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar Baginda Rasulullah SAW,” nasihatnya.
Beliau berkongsi makna peribadi daripada nilai bidaan RM16,500 sebagai simbol mengingatkan diri terhadap kepentingan Islam, iman dan ihsan.
“1 – Ihsan, 6 – Iman, 5 – Islam, 00 – akhirnya dunia kita tinggalkan tanpa membawa apa-apa. Bukan tafsiran agama terhadap angka, sekadar simbol untuk mengingatkan diri agar menjaga Islam, Iman dan Ihsan hingga akhir hayat,” ulasnya.
Beliau sekali lagi memetik firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman ayat 26 mengenai hakikat segala makhluk yang berada di bumi akan binasa.
“Alhamdulillah. Terima kasih semua. Sebuah tongkat, sebuah kenangan, tetapi membawa peringatan untuk sepanjang kehidupan.
“Insya-Allah kita jumpa di Muktamar PAS 2026 di Kelantan. Selagi ada usia, selagi ada kudrat, teruskan berjuang. Allahu Akbar!” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment