NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Melaka saya tak tahu Umno kuat ke tidak, kita berbincanglah’




AYER KEROH
: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membawa agenda Perpaduan Ummah sebagai pendekatan politik bagi menghadapi pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, pendekatan itu bertujuan menguasai politik dengan melibatkan orang Melayu serta bukan-Islam yang tidak ekstrem.

“Melaka saya tak tahu Umno kuat ke tidak. Ini kita bincanglah, masih berbincang lagi. Terengganu, Kelantan ada pendekatan dia. Jangan bimbang. Kita membawa agenda Perpaduan Ummah.

“Perpaduan Ummah untuk menguasai politik, orang Melayu dan bukan Islam yang tidak ekstrem. Ini pendekatan kita,” ujar beliau dalam Majlis Makan Malam Amal PAS Negeri Melaka di Mudzaffar Hotel, di sini malam tadi.

Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, semua pihak perlu akur dengan keputusan politik yang dibuat berdasarkan syura dan mesyuarat pimpinan parti.

“Insya-Allah saya harap supaya semua kita akan dengar setia pada kepimpinan yang buat keputusan. Keputusan politik. Kerana kita bergantung pada syura. Mesyuarat pimpinan parti. Bila sudah jadi keputusan kita laksanakan keputusan itu,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru sokongan serta sumbangan daripada penyokong parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

“Tawakal kepada Allah, insya-Allah kita berjaya. Cuma sekarang ini kena pungut derma dululah untuk sedia pilihan raya. Kena bagi sumbangan. Tuhan jadikan sumbangan ini berlipat kali ganda kerana nak menangkan Islam,” terang Tuan Guru.

Mengulas pendekatan politik PAS di Johor sebelum ini, Tuan Guru mengakui strategi diambil mengambil kira kedudukan Umno yang kuat di negeri berkenaan.

Beliau mengemukakan bahawa pendekatan itu dibuat bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) dan gabungannya daripada menguasai politik.

“Oleh kerana di Johor kuat Umno, Negeri Sembilan kuat Umno, kita ambil pendekatan dulu daripada pendekatan politik. Politik ini fleksibel. Kuat Umno, kita nak halang PH dan gerombolannya menguasai politik. Kita halang,” cerita Tuan Guru.

PRN Johor

Beliau mengimbas, dalam PRN Johor, PAS memilih untuk bertanding selepas tidak bersetuju dengan cadangan pemberian hanya dua kerusi.

“Umno nak bagi hadiah dua kerusi. Tak boleh dua kerusi. Dua kerusi ini ‘tyre spare’ kecil sangat.

“Kalau Umno tak cukup, tak padan dua kerusi (untuk PAS bantu Umno bentuk kerajaan Johor), (jadi) kena banyaklah sebelas lebih. Dia tak cukup kita boleh tambah,” jelas Tuan Guru.

Menurut beliau yang juga mantan Menteri Besar Terengganu, PAS kemudian memutuskan untuk bertanding 11 kerusi dalam PRN Johor.

“Masa itu Umno masih tu lagi nak bertanding semua. Tak apalah, kita bertanding 11. Kita bertanding 11. Kita kerahkan supaya orang Johor, tempat PAS undi PAS, tempat tak ada PAS undi Umno. Undi MCA, undi MIC.

“Orang PAS pun pening. Macam mana ni. Biarlah dia pening. Tak apalah dia pening. Ini politik,” ulas Tuan Guru menerangkan pendekatan diambil PAS ketika itu dengan menyeru pengundi membuat pilihan berdasarkan kawasan.

Tuan Guru berpandangan, pendekatan itu akhirnya membantu kemenangan besar Umno di Johor.

“Alhamdulillah. Berarak orang balik mengundi di Johor, mengundi. Barulah Umno menang besar. Kita kosong Orang PAS kata, ‘mengapa (PAS) kosong (kerusi DUN)?’ Tak apalah kerana kita jaga gol,” jelas Tuan Guru.

Beliau mengumpamakan pendekatan itu seperti perlawanan bola sepak apabila PAS mengambil peranan sebagai penjaga gol.

“Jadi macam Mesir lawan dengan Argentina. Pengadil tak betul. Mesir kalah. Ini pengadil tak betul, pengadil salah guna. Sebab itu kita ambil sikap orang PAS jaga pintu gol.

“Bila Umno yang ‘shoot’ gol di Johor itu, akhirnya menanglah Umno,” terang Tuan Guru menegaskan, perkara utama ketika itu adalah memastikan Melayu Islam menguasai politik.

Mengenai pendekatan di Negeri Sembilan pula, Tuan Guru memaklumkan, PAS mengambil strategi berbeza dengan tampil sebagai penyerang.

“Maka di Negeri Sembilan lain. Kita ambil pendekatan. Kita jadi penyerang sama. Ada wakil rakyat kita, ada Exco kita, Umno pun ada juga. Kita berjaya tewaskan DAP, tewaskan parti-parti yang bersama dengan dia, Negeri Sembilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2026




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo