NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAPSY ‘tidur’ selama 4 tahun bersama Anwar?




KUALA LUMPUR
: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan DAPSY Sarawak sebagai terlalu lama ‘tidur’ apabila secara tiba-tiba mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan Menteri Kewangan.

Beliau mempertikaikan konsistensi pendirian sayap DAP itu sepanjang hampir empat tahun pentadbiran Kerajaan Madani apabila mahu Anwar mempercepatkan agenda Reformasi selain turut mengemukakan 10 tuntutan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, tuntutan tersebut seolah-olah baharu berbangkit, sedangkan isu pemisahan portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah lama menjadi antara perkara yang didesak pembangkang.

“Eh lama juga kamu (DAPSY Sarawak) tidur ya? Hampir empat tahun, bahaya tu tidur lena terlalu lama. Ketika kami di setiap sesi Parlimen membabitkan RUU Kewangan meminta supaya diasingkan dua portfolio ini, kamu tidur di celah mana?” sindirnya.

Perkembangan itu turut memperlihatkan terdapat beberapa persamaan antara tuntutan yang kini dibangkitkan DAPSY Sarawak dengan perkara selama ini menjadi kritikan PAS dan Perikatan Nasional (PN) terhadap kerajaan.

Antaranya termasuk isu kos sara hidup dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pemberian peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen, pelaksanaan subsidi diesel dan BUDI Diesel, selain reformasi institusi.

Dalam isu SST dan kos sara hidup, tuntutan supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaan cukai tersebut bukan perkara baharu dalam wacana politik negara, selain turut berbangkit mengenai kesan dasar percukaian dan beban ditanggung rakyat.

Begitu juga tuntutan supaya semua Ahli Parlimen diberikan peruntukan secara sama rata yang mempunyai persamaan dengan tuntutan pembangkang berhubung layanan adil kepada kawasan Parlimen diwakili.

Isu subsidi diesel dan BUDI Diesel pula turut menjadi antara perkara yang dikritik pembangkang, khususnya berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi serta kesannya terhadap rakyat dan sektor tertentu.

Pada masa sama, tuntutan berkaitan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut meletakkan reformasi institusi sebagai antara perkara yang terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada tuntutan reformasi yang dikemukakan DAPSY Sarawak benar-benar merupakan pendirian baharu atau kesinambungan kepada isu telah lama dibangkitkan pembangkang.

Malah, DAPSY Sarawak sendiri menegaskan kerajaan perlu membuat pilihan sama ada mahu dikenang sebagai kerajaan yang melaksanakan reformasi atau terus menangguhkannya.

Sehubungan itu, isu yang dibangkitkan bukan sekadar mengenai tuntutan reformasi, tetapi turut menyentuh persoalan mengenai tempoh hampir empat tahun telah dilalui kerajaan serta sejauh mana agenda reformasi dijanji telah dilaksanakan.

Dalam konteks tersebut, kritikan Ustaz Fadhli turut memberi gambaran bahawa sebahagian tuntutan DAPSY Sarawak kini mempunyai titik persamaan dengan perkara telah lama menjadi bahan kritikan PAS dan PN terhadap kerajaan. – HARAKAHDAILY 24/8/2026






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo