“Rundingan setakat ini belum bermula, namun secara asasnya kita bersetuju melakukan rundingan dan kita akan adakan dalam waktu terdekat,” katanya menurut Berita Harian selepas mesyuarat Jawatankuasa Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kota Bharu, malam tadi.
“Rundingan mungkin tidak sama dengan Negeri Sembilan kerana setiap negeri adalah berbeza dan kedudukan kerusi juga berbeza. Sebagai contoh, kita tiada kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), namun kita ada kerusi Parlimen di Melaka.
“Semua itu kita akan jadikan asas dalam perbincangan kita. Apakah mereka mahu mengekalkan 20 atau 21 kerusi, termasuk kerusi di DUN Rembia yang mana Adun kerusi berkenaan sudah menyertai PAS juga akan dibincang.”
Jumaat lalu, Presiden PAS, Hadi Awang dilaporkan mendakwa Bersatu secara automatik terkeluar daripada PN selepas mengumumkan pembentukan gabungan baharu, tetapi Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar semalam berkata, parti itu masih komponen gabungan berkenaan.
Ditanya mengenai Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan sudah berunding secara tidak rasmi dengan BN Melaka, Takiyuddin berkata, beliau tiada maklumat berhubung perkara itu setakat ini.
“Saya tiada maklumat dan isu ini belum lagi timbul. Kita tidak tahu ia betul atau tidak, itu kena tanya Umno. Jika Umno kata betul, barulah kita akan fikirkan kemudian. Mungkin juga itu hanya gimik politik.”
Semalam, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, gabungan itu sudah mengadakan beberapa rundingan dengan BN berhubung kemungkinan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.
Katanya, Ketua PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim telah berhubung secara langsung dengan Pengerusi BN negeri, Ab Rauf Yusoh untuk membincangkan rundingan kerusi bagi PRN.
Sedia dipanggil JPPM
Takiyuddin berkata, Bersatu berhak membuat sebarang aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) dan PN sedia memberi penjelasan jika dipanggil.
“PAS adalah ahli PN dan sudah tentu akan mempergunakan PN untuk parti-parti dalam gabungan itu,” katanya susulan dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz bahawa PAS mempergunakan PN sesuka hati demi kepentingan politiknya, termasuk tindakan unilateral menafikan hak parti anggota serta didakwa melanggar Perlembagaan PN.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment