NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN-PN akan berusaha teruskan kerjasama walaupun tak sempurna



PETALING JAYA:
 Penganalisis percaya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan berusaha meneruskan kerjasama, di sebalik pergeseran antara mereka.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata keretakan hubungan tidak semestinya bermakna BN-PN akan berpisah. “Jika kedua-duanya mengira bahawa kerjasama lebih menguntungkan daripada bertembung, mereka akan terus bersama walaupun tanpa keserasian yang sempurna.”

Bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu, yang menyertai Parti Bangsa Malaysia, melihat persefahaman BN-PN pada PRN Negeri Sembilan hanya bersifat taktikal dan mendakwa petanda awal masalah antara mereka sudah dapat dilihat menjelang PRN Melaka khususnya berkaitan pembahagian kerusi.

Walaupun BN dan PN menyatakan sudi mengadakan rundingan, Presiden Umno Zahid Hamidi mengumumkan BN sedia mempertahankan semua 21 kerusi DUN yang disandang, manakala Presiden PAS Hadi Awang dilapor memberitahu media bahawa kerjasama seperti di Johor dan Negeri Sembilan tidak semestinya diulang di Melaka.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya BN dan PN akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan kerjasama sekurang-kurangnya bagi menghadapi pilihan raya, susulan kejayaan di Negeri Sembilan.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN-PN menewaskan PH yang mentadbir sejak 2018, di sebalik populariti Menteri Besar Aminuddin Harun.

“Pada pandangan saya, akan tetap wujud pelbagai perselisihan dan cabaran. Malah, jika mereka berjaya membentuk kerajaan sekali pun, isu berkaitan kepimpinan dan hala tuju agenda bersama berkemungkinan timbul.

“Namun, sehingga tiba ke tahap itu, saya melihat kedua-dua pihak akan terus berusaha memastikan kerjasama ini kekal berfungsi kerana masing-masing menyedari manfaat politik yang boleh diperoleh daripada gabungan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Zaharuddin berkata hujah Ronnie berhubung gandingan BN-PN membuka persoalan penting tentang politik pasca PRU15: “adakah gabungan hari ini dibina atas keserasian, atau sekadar matematik untuk menang?”

“Negeri Sembilan memberikan gambaran yang menarik. Kerjasama politik boleh terbentuk apabila dua pihak mempunyai musuh yang sama, tetapi itu tidak semestinya bermakna mereka mempunyai visi yang sama,” katanya kepada FMT.

Zaharuddin berkata ‘perkahwinan’ kerana keadaan memaksa akan diuji ketika pilihan raya, sambil menerangkan implikasi setiap rundingan kerusi.

“Di atas kertas, semuanya boleh dirunding. Tetapi di lapangan, setiap kerusi mempunyai penyandang, jentera, penyokong dan maruah parti. Apabila dua parti menganggap kawasan yang sama sebagai hak mereka, slogan kerjasama mudah bertukar menjadi pertandingan dalaman,” katanya.

Zaharuddin menambah kewujudan musuh bersama bukan sebab suatu penyatuan akan bertahan. “Perebutan kuasa boleh memisahkan mereka. Mungkin perceraian itu bukan persoalan ‘jika’, ia hanya persoalan ‘bila’.”


Sumber | FMT Malaysia









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo