BANGI, 4 RABIULAWAL — Profesor Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal kesal dengan keputusan kerajaan yang mahu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Bekas timbalan naib canselor (hal ehwal pelajar dan alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata pemansuhan AUKU bukanlah cadangan awal kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sejak memerintah, kerajaan madani dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak pernah sebut mengenai pemansuhan AUKU.
“Semasa Dr Maszlee Malik menjadi menteri, AUKU sudah dikaji dengan panjang lebar dan seingat saya, salah seorang ahli jawatankuasa pindaan AUKU tiada cadangan memansuh AUKU.
“Tiba-tiba Perdana Menteri hendak mansuh AUKU, adakah deraf undang-undang baharu sudah siap? AUKU tidak perlu dimansuh. Mansuh seksyen berkenaan kebebasan pelajar sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu pesanan ringkas kepada TV Pertiwi mengulas hasrat pemansuhan AUKU oleh Perdana Menteri kelmarin.
Anwar kelmarin memaklumkan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Katanya, usul pemansuhan AUKU akan dibentangkan ke Kabinet Rabu ini susulan memorandum yang diserahkan kepimpinan mahasiswa.
Noor Aziah berkata tiada keperluan bagi kerajaan untuk memansuhkan AUKU memandangkan akta berkenaan sangat berkesan mengatur hal ehwal universiti.
Katanya, Akta Pendidikan Tinggi baharu yang dicadangkan belum tentu dapat menambah baik AUKU yang dilihat lebih komprehensif selepas beberapa siri pindaan.
“AUKU bukan mengenai kebebasan mahasiswa sahaja. Ia mengandungi peruntukan pengurusan universiti awam. AUKU sudah dipinda beberapa kali untuk memberi mahasiswa kebebasan.
“Sebenarnya AUKU sudah berjalan dengan baik tanpa perlu dimansuhkan. Jika hendak diganti dengan Akta Pendidikan Tinggi, undang-undang baharu ini perlu dikaji kesesuaiannya.
“Masukkan juga peruntukan Kesatuan Pelajar macam di United Kingdom dan Australia. Universiti perlu bajet bebas dan khas,” katanya mengulas pengenalan akta baharu menggantikan AUKU.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment