NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemansuhan AUKU tanpa kerangka perundangan pengganti boleh jejaskan kestabilan IPTA



BANGI, 4 RABIULAWAL — Persepsi bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) hanya berkaitan mahasiswa perlu diperbetulkan kerana hanya tujuh daripada 42 seksyen akta itu menyentuh hal ehwal pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata sebaliknya sebahagian besar peruntukan akta itu meliputi tadbir urus, pentadbiran, perjawatan dan pengurusan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Menurutnya, pemahaman menyeluruh terhadap AUKU penting sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung pemansuhan akta itu kerana implikasinya turut membabitkan keseluruhan sistem pengurusan dan kelangsungan IPTA.

“Pemansuhan AUKU tanpa kerangka perundangan pengganti yang jelas boleh menimbulkan kekosongan dari segi punca kuasa penubuhan universiti, perjawatan, pengurusan serta pentadbiran institusi dan keadaan itu perlu dielakkan bagi memastikan operasi institusi berjalan dengan teratur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohammad Shatar berkata, ketidakstabilan kepemimpinan dan tadbir urus IPTA akibat ketiadaan kerangka undang-undang yang jelas juga berpotensi menjejaskan kualiti pendidikan tinggi.

Katanya, ini kerana universiti memerlukan sistem pentadbiran yang tersusun, akauntabiliti yang jelas dan kepemimpinan yang mempunyai bidang kuasa yang sah.

“Sekiranya kepemimpinan di IPT menjadi kacau-bilau kerana tiada punca kuasa jelas, seumpama sebuah negara yang tidak mempunyai undang-undang.

“Apabila tiada peraturan yang menjadi asas, bagaimanakah kita mahu memastikan pengurusan, akauntabiliti dan kualiti terus terjamin?,” katanya.

Beliau berkata, kesannya tidak harus dilihat dari sudut pentadbiran semata-mata kerana sebarang ketidakstabilan institusi akhirnya boleh memberi implikasi kepada proses pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pengurusan akademik serta keyakinan masyarakat terhadap kelayakan yang dikeluarkan universiti.

Katanya, keadaan itu juga boleh memberi kesan kepada ribuan mahasiswa jika berlaku ketidakpastian terhadap status institusi dan punca kuasa yang menjadi asas kepada pengeluaran sijil serta kelayakan akademik.

“Sudah pasti ketika itu ribuan mahasiswa yang sedang berada dalam sistem pendidikan tinggi negara akan menjadi mangsa termasuk dari segi sijil ataupun kelayakan yang dikeluarkan universiti kerana punca kuasa universiti sudah dimansuhkan.

“Masyarakat perlu memahami keseluruhan AUKU sebelum membuat kesimpulan bahawa akta itu hanya menyekat kebebasan mahasiswa kerana peruntukan berkaitan pelajar hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kerangka perundangan berkenaan,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, peruntukan mahasiswa dalam AUKU sudah melalui pindaan pada 2023 yang memperkenalkan beberapa dimensi baharu pemerkasaan pelajar.

Katanya, ini termasuk Seksyen 15A yang membolehkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar memungut wang atau menerima sumbangan serta Seksyen 16B berkaitan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.

Pindaan itu, katanya turut menyelaraskan tempoh MPP dengan tahun akademik melalui Seksyen 48(4) Jadual Pertama, membolehkan MPP menyenggara kumpulan wang atau akaun sendiri menerusi Seksyen 48(11), memperincikan peraturan kutipan wang melalui Seksyen 48(12A) serta memperluas pemakaian peruntukan MPP kepada badan pelajar lain menerusi Seksyen 49(2) Jadual Pertama.

“Perkembangan itu membuktikan peruntukan AUKU boleh ditambah baik mengikut perubahan landskap pendidikan tinggi.

AUKU sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.

Pindaan terbaharu pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.


Sumber | TV Pertiwi





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo