NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu TH: Jangan kerana pelaku Melayu, seluruh bangsa dihina – Akmal Saleh



BANGI, 4 RABIULAWAL —  Kesalahan dilakukan segelintir individu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghina atau merendahkan sesuatu bangsa secara keseluruhan, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, perbuatan mencuri bukan soal bangsa kerana dalam setiap kaum terdapat individu yang baik dan mereka yang melakukan kesalahan.

“Ada Melayu yang mencuri. Ada Cina yang mencuri. Ada India yang mencuri. Dalam setiap bangsa, ada yang baik dan ada yang melakukan kesalahan.

“Jadi jangan kerana kesalahan beberapa individu, satu bangsa pula dihina dan direndahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Akmal turut menyentuh isu Lembaga Tabung Haji (TH), dengan menegaskan bahawa kesalahan dilakukan individu Melayu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyalahkan bangsa Melayu secara keseluruhan.

“Kesalahan dalam Tabung Haji, jika yang mencuri itu Melayu dan terus nak salahkan bangsa Melayu itu tidak adil.

“Kerana jangan lupa, isu korporat mafia, isu terowong juga ada bangsa lain yang dituduh terlibat, adakah kita nak salahkan bangsa mereka?” katanya.

Sebelum ini, isu berkaitan kaum turut mencetuskan pertikaman lidah ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH pada 11 Ogos.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ketika mencelah perbahasan mengeluarkan kenyataan yang menyentuh Melayu dan Islam sehingga mendapat bantahan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor kemudiannya mengarahkan Mohd Sany menarik balik kenyataan berkaitan ras dan agama Islam tersebut.

Dalam hantaran sama, Akmal berkata, sekiranya terdapat pihak yang melakukan kesalahan, mereka perlu disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

“Kalau ada yang mencuri, tangkap. Siasat. Dakwa. Bawa ke mahkamah. Biar undang-undang tentukan siapa bersalah.

“Lebih-lebih lagi kalau kamu berada dalam kerajaan. Kamu ada kuasa, ada agensi, ada undang-undang. Gunakanlah.

“Jangan sudah jadi kerajaan, tetapi masih bercakap macam pembangkang—pandai menuding jari, tetapi gagal mengambil tindakan,” katanya.

Beliau turut menegaskan supaya bangsa Melayu tidak dihina secara keseluruhan hanya kerana kesalahan individu.

“Jangan kerana pelaku itu Melayu kamu hina Melayu secara keseluruhan, tetapi jika pelaku itu bangsa lain, kamu diam menikus!

“Penjenayah ada bangsa. Tetapi jenayah tidak mengenal bangsa,” katanya.


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo