SEREMBAN – Timbalan Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Pakatan Harapan (PH) telah membuktikan keupayaannya mentadbir menerusi rekod pencapaian yang jelas di Negeri Sembilan.
Berucap pada ceramah PH di Temiang malam tadi, beliau berkata, kedudukan kewangan negeri terus diperkukuh sejak PH mengambil alih pentadbiran pada 2018, dengan lebihan hasil meningkat saban tahun.
Menurut beliau, pada 2025, lebihan hasil Negeri Sembilan melebihi RM203 juta, berbanding hanya RM140,000 pada 2018, iaitu peningkatan 1,449 kali ganda.
“Negeri Sembilan juga berjaya menarik pelaburan melebihi RM19 bilion pada 2025, berbanding RM2.9 bilion pada 2018, atau kira-kira 6.6 kali ganda.
“Dalam tempoh sama, rizab kerajaan negeri meningkat sebanyak 45.4 peratus, daripada RM688 juta kepada RM1 bilion.
“Nilai pelaburan dan rizab tersebut masing-masing merupakan yang tertinggi dalam sejarah Negeri Sembilan. Ini bukan sekadar janji pilihan raya. Semua ini ialah pencapaian yang boleh dibuktikan menerusi rekod dan data,” katanya.
Sebaliknya, Steven Sim berkata, selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Johor, BN tidak mengutamakan usaha meningkatkan kebajikan dan pembangunan negeri dengan segera, sebaliknya menambah jawatan politik.
“Rakyat mengundi dengan harapan kerajaan negeri yang baharu akan terus bekerja.
“Namun, antara tindakan pertama mereka adalah mewujudkan 10 jawatan Timbalan Exco demi kepentingan politik sendiri.
“Ketika PH berusaha menambah kebajikan rakyat, mereka pula sanggup membebankan rakyat dengan menambah 10 jawatan politik,” tambahnya
Steven Sim turut berkata, kegagalan pihak lawan menampilkan rekod pentadbiran yang setanding PH menyebabkan mereka memilih untuk memainkan sentimen perkauman dan menyerang DAP bagi meraih sokongan.
“Di hadapan masyarakat Cina, mereka mendakwa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tidak menjaga kepentingan orang Cina. Namun, apabila berdepan kaum lain, mereka menakut-nakutkan rakyat dengan mendakwa Anwar dikawal DAP dan semua sumber disalurkan kepada masyarakat Cina.
“Ini sebab DAP dan Pakatan Harapan akan terus berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa PH akan terus memastikan setiap rakyat mendapat peluang yang adil, di samping meneruskan pembangunan dan menjamin kestabilan pentadbiran negeri sekiranya sekali lagi diberi mandat oleh rakyat Negeri Sembilan pada hari pengundian PRN, 1 Ogos ini. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment