SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyangkal dakwaan parti itu menyertai Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan hanya semata-mata untuk memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
Calon Bersatu N.13 Sikamat, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, Bersatu dipinggirkan sejak awal daripada proses rundingan pengagihan kerusi yang melibatkan parti-parti lain sehingga memaksa parti itu bertanding secara bersendirian.
“Kita bertanding di 24 kerusi kerana kita mahu menjadi alternatif kepada Pakatan Harapan (PH) dan juga gabungan yang melibatkan Barisan Nasional (BN), Pas serta Parti Wawasan Negara.
“Bukan kita yang menjadi pemecah undi tetapi kita telah dipinggirkan daripada proses rundingan kerusi sejak awal lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semasa meninjau proses pengundian awal PRN Negeri Sembilan di Pusat Mengundi Awal N.13 Sikamat di Balai Polis Sikamat hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa, penyertaan Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan bukan bertujuan untuk membentuk kerajaan sebaliknya hanya bagi memecahkan undi sekali gus memberi kelebihan kepada PH.
Badrul Hisham berkata, dakwaan itu berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada beberapa bekas pemimpin dan ahli Bersatu yang bertindak meninggalkan parti berkenaan sebelum hari penamaan calon, 17 Julai lalu.
Tun Faisal juga berkata, sekiranya benar wujud keinginan untuk menyatukan parti-parti pembangkang, Bersatu sepatutnya dijemput menyertai rundingan sejak peringkat awal.
“Dalam rundingan itu kita langsung tidak dipanggil. BN mengumumkan 25 calon lebih awal tetapi kita tidak pernah diajak berbincang mengenai baki kerusi.
“Kalau benar mereka mahu elakkan pertandingan tiga penjuru, mereka sepatutnya mengajak Bersatu duduk semeja,” katanya.
Tun Faisal turut mendakwa rundingan yang berlaku hanya melibatkan Pas, Parti Wawasan Negara dan BN tanpa penyertaan Bersatu sekali gus disifatkan lebih mengutamakan kepentingan politik masing-masing.
“Perkara itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa parti lain yang merasakan mereka diketepikan daripada proses membuat keputusan,” katanya.
Beliau mendakwa sekiranya rundingan dijalankan secara menyeluruh, kerusi Sikamat sewajarnya diperuntuk kepada Bersatu memandangkan parti itu mempunyai organisasi serta jentera yang lengkap di kawasan berkenaan.
“Sikamat sebenarnya kerusi yang sesuai untuk Bersatu. Kalau rundingan dibuat secara telus, sudah tentu kita boleh capai pertandingan satu lawan satu antara PH dan pembangkang,” katanya.
Mengulas mengenai Parti Wawasan Negara, Tun Faisal mendakwa parti itu masih belum mempunyai struktur organisasi yang kukuh di Negeri Sembilan.
Tun Faisal mendedahkan, parti tersebut didakwa tidak mempunyai cawangan, bahagian mahupun jentera sendiri di beberapa kawasan termasuk Sikamat, sebaliknya bergantung kepada bantuan parti-parti lain.
“Dalam keadaan mereka tidak mempunyai jentera sendiri, mereka dibantu oleh parti-parti yang lebih besar. Jadi tidak wajar menyalahkan Bersatu kononnya menjadi punca perpecahan undi,” katanya.
Tun Faisal menegaskan, Bersatu memasuki PRN Negeri Sembilan dengan hasrat memenangi kerusi yang ditandingi dan bukannya sekadar bertanding untuk memberi laluan kepada mana-mana pihak.
“Bersatu menawarkan manifesto sendiri sebagai bukti kesediaan membawa agenda serta dasar yang diyakini mampu menjadi pilihan kepada pengundi di Negeri Sembilan,” katanya.
Ditanya mengenai Manifesto Bersatu di Sikamat, Tun Faisal memperkenalkan tujuh tekad khusus yang memfokuskan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk selain menyelesaikan isu infrastruktur serta kebajikan rakyat.
“Tujuh tekad tersebut melengkapi manifesto ‘Bersatu Demi Negeri Sembilan’ yang dilancarkan Bersatu di peringkat negeri, mengandungi sembilan tunjang utama serta 76 tawaran kepada rakyat sebagaimana diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, manifesto peribadi itu dirangka berdasarkan keperluan sebenar penduduk Sikamat dengan matlamat menjadikan kawasan berkenaan lebih ceria, moden, selamat dan kondusif untuk didiami.
“Saya menggariskan tujuh tekad yang lebih menjurus kepada usaha memastikan bandar ini menjadi lebih ceria, lebih moden dan lebih selamat, di samping memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
“Ia merangkumi kebajikan rakyat daripada peringkat kelahiran, kanak-kanak, wanita, warga emas sehinggalah golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, antara keutamaan yang dikenal pasti ialah masalah penyelenggaraan infrastruktur di kawasan perbandaran lama yang menurutnya memerlukan perhatian segera.
“Isu seperti penyelenggaraan kolam takungan banjir dan kolam kumbahan yang didakwa sudah lama tidak diselenggara perlu ditangani bagi mengelakkan risiko kepada penduduk,” katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan masalah jalan berlubang, keadaan jalan raya yang tidak mempunyai bonggol di lokasi berisiko sehingga membahayakan pengguna, selain beberapa janji pentadbiran terdahulu yang masih belum ditunaikan.
“Dalam soal tanah misalnya, terdapat janji berkaitan penukaran status pegangan tanah daripada pajakan kepada pegangan bebas yang masih belum dilaksanakan.
“Kita juga mahu mencari penyelesaian terhadap isu pengurusan penempatan komuniti Rohingya yang tertumpu di Taman Jujur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment