NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tolak ramalan Ong Kian Ming, keputusan PRN N. Sembilan bukan ditentukan ahli nujum – Fahmi



JEMPOL – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan ditentukan oleh “ahli nujum” atau sebarang ramalan politik.

Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, keputusan pilihan raya hanya ditentukan oleh pengundi pada 1 Ogos ini.

“Yang akan memenangkan mana-mana calon atau mana-mana parti akhirnya ialah pengundi yang keluar mengundi.

“Bukan kajian, bukan para nujum, bukan apa-apa ramalan, tetapi pengundi,” katanya ketika ditemui selepas berkempen bersama calon PH DUN Jeram Padang, G. Manivanan di Felda Bukit Rokan Barat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Dr Ong Kian Ming yang menjangka gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi 23 hingga 25 kerusi daripada 36 kerusi dipertandingkan pada PRN di negeri itu kali ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau melihat ramalan berkenaan sebagai cabaran kepada semua calon PH untuk terus memperhebat usaha mendekati pengundi, khususnya golongan atas pagar.

“Kita lihat kenyataan individu seperti Ong Kian Ming ini sebagai cabaran kepada calon-calon kita untuk terus menyantuni dan meyakinkan pengundi terutamanya pengundi atas pagar supaya memberikan sokongan kepada PH.

“Berdasarkan sambutan di lapangan, PH melihat momentum kempen semakin positif menjelang hari pengundian dan yakin pengundi akan membuat keputusan berdasarkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min, telah membuktikan prestasi yang baik selain tidak dibayangi sebarang skandal penyelewengan atau salah guna wang rakyat.

“Meskipun berdepan pelbagai kritikan sepanjang kempen, Tok Min kekal tenang dan memilih untuk terus memberi tumpuan kepada tugas serta perkhidmatan kepada rakyat.

“Walaupun ada kenyataan yang agak keras terhadap beliau, beliau tetap terus bekerja dan meneruskan kempen,” katanya. -MalaysiaGazette













........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo