KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bakal berdepan kekalahan serius dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan perubahan sentimen pengundi Melayu dan bukan Melayu terhadap gabungan itu.
Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, ramalan itu hasil lawatannya ke beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan minggu lalu.
Kata beliau, salah satu punca kekalahan itu disebabkan persefahaman Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Selain itu, katanya, kemenangan BN dalam PRN Johor baru-baru ini mengukuhkan prospek gabungan itu untuk meraih lebih banyak kerusi di Negeri Sembilan.
“Dengan perubahan sokongan pengundi Melayu yang diperkukuhkan lagi melalui sokongan PN kepada BN, adalah berkemungkinan sebahagian besar undi Melayu akan beralih kepada BN.
“Pas dan PN mungkin mempunyai pengaruh yang terhad untuk memujuk pengundi secara langsung, namun sokongan terbuka mereka mengukuhkan lagi kedudukan BN,” ujar beliau lagi.
Ramasamy mendakwa Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memperoleh sokongan Melayu yang mencukupi untuk PH, manakala sokongan pengundi bukan Melayu terhadap gabungan itu menunjukkan trend penurunan.
Katanya, selepas tiga tahun mentadbir Negeri Sembilan, PH gagal meyakinkan ramai pengundi bukan Melayu bahawa kepentingan mereka telah dipelihara dengan sewajarnya.
Beliau turut mendakwa ramai pengundi masyarakat Cina kecewa terhadap DAP terutamanya peranan parti tersebut dalam Kerajaan Persekutuan.
Disebabkan itu, dakwa Ramasamy, terdapat banyak laporan bahawa pemimpin kanan DAP menerima sambutan dingin ketika turun ke kawasan, malah ada yang dikatakan diejek dan ‘diboo’ oleh orang ramai.
“Keadaan ini amat berbeza berbanding sambutan penuh semangat yang mereka terima semasa kempen pilihan raya negeri yang lalu.
“Dalam kalangan pengundi Cina, rasa tidak puas hati berpunca daripada kegagalan kepimpinan DAP menyelesaikan isu penternakan babi serta prestasi hambar dalam memperjuangkan pengiktirafan kelayakan UEC bagi kemasukan ke universiti awam.
“Syarikat-syarikat pengangkutan milik masyarakat Cina juga terjejas akibat penguatkuasaan tegas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan,” dakwa beliau lagi.
Menurutnya, jika ramai pengundi Cina marah kepada DAP, pengundi India yang membentuk lebih daripada 20 peratus pengundi di banyak kawasan DUN pula semakin kecewa dengan Kerajaan PH, khususnya DAP, katanya.
Ramasamy berkata, walaupun BN masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, kemarahan rakyat ketika ini lebih banyak tertumpu kepada PH.
“Dengan perubahan sokongan pengundi Melayu yang diperkukuhkan lagi melalui sokongan PN kepada BN, adalah berkemungkinan sebahagian besar undi Melayu akan beralih kepada BN.
“Seperti yang pernah saya hujahkan sebelum ini, apa yang berlaku kepada PH di Johor berkemungkinan besar akan berulang di Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment