NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pernah undi dua-dua pihak, sama sahaja – Pengundi DUN Tenang



SEGAMAT – DUN Tenang mungkin tidak lagi setenang namanya kerana kehidupan di sini agak berbeza berbanding masa lalu.

Dengan peluang pekerjaan yang terhad, anak-anak muda mula meninggalkan kawasan itu untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan Singapura demi mencari sesuap nasi.

Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, perbincangan yang paling kerap diutarakan bukan soal siapa atau parti mana yang mahu diundi, sebaliknya keluhan penduduk mengenai peluang pekerjaan serta ekonomi yang perlahan dan perniagaan yang semakin sukar bertahan.

Penduduk meluahkan rasa kecewa terhadap pembangunan yang didakwa masih tidak membawa perubahan ketara kepada kehidupan mereka.

Bagi peniaga kecil, masalah sebenar bukan sekadar kekurangan bantuan tetapi ketiadaan peluang ekonomi yang mampu menggerakkan pendapatan penduduk setempat.

Seorang peniaga selama lebih 20 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Iza berkata, tiada perubahan di DUN Tenang seperti yang diharapkannya..

Katanya, dia tidak pernah menerima bantuan khusus sebagai peniaga kecil meski pun keadaan perniagaan semakin mencabar selepas lokasi berniaga dipindahkan.

“Pernah undi dua-dua belah, sama sahaja. Kami mahukan pembangunan. Hidupkan semula kilang di sini supaya ada peluang pekerjaan.”

“Sejak kami diarahkan berniaga di bahagian depan, pelanggan semakin kurang. Cuaca pula panas. Yang lebih sedih, anak-anak terpaksa bekerja di Kuala Lumpur atau Singapura sebab memang tak ada kerja di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini.

Menurut Iza, bantuan sekali-sekala tidak mampu menyelesaikan masalah jika ekonomi tempatan terus suram dan peluang pekerjaan masih terhad.

Pandangan sama turut dikongsi peniaga mikro, Nafisa Kasim, 57, yang hampir tiga tahun berniaga bagi menampung kehidupan keluarga.

Katanya, walaupun terdapat bantuan pendidikan untuk anak-anak, cabaran sebenar ialah kuasa beli masyarakat yang semakin lemah.

“Kalau orang tak ada kerja, siapa yang hendak membeli? Perniagaan kecil pun susah hendak berkembang.”

“Kalau ada lebih banyak peluang pekerjaan dan kilang dibuka semula, orang tak perlu keluar bekerja jauh,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette turut mendapati antara rungutan utama pengundi di DUN Tenang ialah kekurangan peluang pekerjaan, pelaburan yang perlahan serta ketiadaan industri yang mampu menggerakkan ekonomi setempat.

Ramai berpendapat keadaan itu telah berlarutan sejak bertahun-tahun tanpa perubahan yang benar-benar dirasai.

Bagi mereka, bantuan tunai semata-mata tidak lagi mencukupi jika tiada usaha membina ekosistem ekonomi yang mampu menyediakan pekerjaan kepada anak tempatan.

Penduduk turut berharap bantuan kepada peniaga mikro dapat diperkasakan melalui geran perniagaan, latihan kemahiran, akses kepada pasaran dan peluang menjadi pembekal kepada agensi kerajaan.

Justeru ramai peniaga kecil dan penduduk berharap kerajaan selepas PRN memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan supaya anak tempatan dapat berbakti di sini.

Sementara itu, Vitya Arumugam, 34, yang baru tujuh bulan bekerja secara kontrak sebagai pencuci kebersihan, berkata realiti di Tenang menyebabkan ramai rakan seusianya memilih berhijrah.

“Ramai terpaksa pergi kerja jauh. Anak orang Tenang, tapi cari makan di tempat lain. Kalau kerja dekat sini pun, gaji rendah,” katanya.

Menurutnya, apabila semakin ramai golongan muda meninggalkan kampung halaman, kesannya bukan sahaja dirasai keluarga, malah ekonomi setempat turut menerima tempias.

“Bila anak muda keluar, peniaga hilang pelanggan, kuasa beli semakin kecil dan ekonomi di sini bergerak perlahan. Paling sedih, ramai terpaksa berjauhan dengan keluarga semata-mata untuk mencari rezeki.

“Susah cari rezeki sini, untuk orang pandai susah yang tak pandai ni lagiu susah. Bila pakai system semua lagi susah. Semua cakap harga murah tapi semua naik, kami cuma mahu cari kerja untuk terus hidup,” katanya lagi.

Bagi pengundi di DUN Tenang, PRN Johor kali ini bukan sekadar soal memilih wakil rakyat, tetapi memilih kepimpinan yang mampu membawa peluang pekerjaan, menarik pelaburan dan memastikan anak-anak mereka mempunyai masa depan di kampung halaman sendiri tanpa perlu berhijrah demi mencari kehidupan yang lebih baik.

Pada Sabtu ini seramai 22,616 pemilih berdaftar  di DUN Tenang akan menunaikan tanggungjawab pada PRN Johor ke-16.

Ia menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Mohd Azahar Ibrahim (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Normala Sudirman (PN) dan calon Bebas, Siti Aisyah Zobir di mana sebelum ini BN menang dengan majoriti 1,736 undi pada pilihan raya lalu. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo