KUALA LUMPUR - Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli menyasarkan pengundi Pakatan Harapan (PH) yang kecewa dengan Kerajaan Madani untuk mengundi Parti Bersama disifatkan berpotensi menjadi pemangkin kepada kecenderungan Barisan Nasional (BN) menjalin kerjasama dengan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Penganalisis Muda Politik dan graduan Sarjana Sains Politik serta Pentadbiran Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizi Azizan berkata, situasi yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan kemunculan Parti Bersama berpotensi mengubah pola pengundian, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar seperti Johor Bahru, Tebrau dan Iskandar Puteri.
Menurutnya, dalam sistem pilihan raya 'first-past-the-post', parti yang berjaya menarik sokongan penyokong PH berisiko memecahkan undi blok pembangkang sekali gus membuka ruang lebih besar kepada BN untuk memenangi kerusi yang sebelum ini dianggap sukar.
“Bagi UMNO dan BN, perkembangan ini merupakan kelebihan taktikal yang tidak boleh dipandang ringan. Pengundi yang sebelum ini menyokong PH tetapi kini berasa kecewa mempunyai saluran alternatif untuk menzahirkan undi protes.
“Akibatnya, undi yang lazimnya memihak kepada calon PH akan berpecah, sekali gus menjadikan banyak kerusi marginal lebih kompetitif.
“Dalam keadaan ini, BN hanya perlu memastikan jentera parti terus bersatu, kempen dilaksanakan secara tersusun dan sokongan akar umbi diperkukuhkan bagi memanfaatkan perubahan landskap politik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan politik Johor susulan kenyataan Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengenai kemungkinan kerjasama semula BN dan Pas yang disifatkan lebih berasaskan keperluan politik semasa berbanding sentimen.
Menurut Azizi, perkembangan itu turut diperkukuhkan dengan sokongan tidak rasmi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan menggesa ahli dan penyokong Pas mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, walaupun BN kekal dengan pendirian bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sokongan di peringkat akar umbi itu mampu memberi kelebihan kepada parti berkenaan, terutama di kawasan luar bandar, FELDA dan majoriti pengundi Melayu.
“Kerjasama ini memperlihatkan bahawa dalam politik semasa, keutamaan sesetengah pihak bukan lagi semata-mata soal gabungan politik, sebaliknya menentukan pihak yang dianggap paling berupaya mengekang pengaruh lawan.
“Dalam konteks Johor, sokongan tidak rasmi penyokong Pas kepada BN berpotensi meningkatkan daya saing parti itu tanpa perlu membentuk pakatan rasmi yang mungkin mengundang pelbagai implikasi politik,” katanya.
Mengulas dakwaan pemimpin PH bahawa perkembangan itu akhirnya memberi kelebihan kepada gabungan berkenaan, Azizi berkata, ia lebih dilihat sebagai usaha mengekalkan keyakinan penyokong sendiri.
Menurutnya, hakikatnya sebarang perpecahan sokongan dalam kalangan pengundi pembangkang, sama ada melibatkan PH atau PN, tetap memberi kelebihan kepada BN dalam sistem pilihan raya yang berasaskan majoriti mudah.
“Lebih-lebih lagi apabila wujud persepsi mengenai perbezaan pendekatan dalam kalangan parti komponen PN, keadaan itu secara tidak langsung mengukuhkan imej BN sebagai pilihan yang lebih stabil dan tersusun.
“Kelebihan utama BN masih terletak pada pengalaman mentadbir serta keupayaannya menawarkan kestabilan politik yang menjadi harapan sebahagian besar rakyat Johor.
“Johor mempunyai sejarah panjang bersama BN dan ramai pengundi masih menjadikan rekod pentadbiran sebagai faktor penting dalam menentukan pilihan mereka,” katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment