NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Janawibawa: Bicara kes Muhyiddin bersambung esok



KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan kes Janawibawa yang ditangguhkan Jumaat lalu akan bersambung di Mahkamah Tinggi esok dengan mendengar keterangan salah seorang pengarah Nepturis Sdn. Bhd., syarikat yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menangguhkan kes bagi membolehkan Muhyiddin menghadiri upacara pengebumian abang iparnya yang meninggal dunia pada hari yang sama.

Esok, mahkamah akan meneruskan prosiding soal balas saksi pendakwaan ke- 13, Aliza Abd. Malek yang juga salah seorang pemegang saham syarikat tersebut.

Pada perbicaraan Khamis lalu, Aliza mengesahkan syarikat Nepturis telah memperolehi projek kerajaan bagi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dengan kos kontrak berjumlah lebih kurang RM141 juta.

Menurut beliau yang juga eksekutif kanan perolehan syarikat tersebut berkata, pihaknya mendapat arahan ahli perniagaan yang juga pemilik Nepturis, Lian Tian Chuan (dikenali sebagai TC Lian) untuk menyediakan surat bagi memohon projek berkenaan.

Menurut saksi pendakwaan ke-13, TC Lian memaklumkan bahawa surat tersebut akan diberikan kepada Muhyiddin (ketika itu Perdana Menteri).

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo