NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wawasan cabar Bersatu bertanding solo jika yakin kekuatan sendiri – Sathiyan



KLANG – Parti Wawasan Negara (Wawasan) Selangor mencabar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya bertanding secara solo dalam pilihan raya akan datang sekiranya benar-benar yakin dengan kekuatan sokongan yang dimiliki.

Pengerusinya, Sathiyan Gopal berkata, tindakan beberapa pemimpin Bersatu yang mempertikaikan kedudukan parti-parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) menunjukkan seolah-olah mereka mahu mendominasi gabungan tersebut.

“Sekiranya Bersatu merasakan PN tidak lagi memerlukan sokongan parti-parti komponen lain, mereka sewajarnya membuktikan kekuatan itu secara bersendirian.

“Kalau benar yakin dengan kekuatan sendiri, bertandinglah secara solo. Jangan hanya bercakap tetapi tidak berani menguji sokongan sebenar di lapangan,” katanya pada sidang media di Pejabat Penyelaras Wawasan Selangor di Pekan Meru, di sini, hari ini.

Sathiyan berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa pemimpin Bersatu yang didakwa menggesa PAS keluar daripada PN.

Beliau juga menegaskan, mana-mana keputusan berkaitan keahlian atau kedudukan parti dalam PN perlu dibuat mengikut peruntukan perlembagaan gabungan itu.

“Keputusan mengenai keahlian mahupun kedudukan parti komponen dalam PN bukan dibuat melalui kenyataan individu,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyokong Wawasan bersedia turun membantu kempen di beberapa kawasan pilihan raya sekiranya diperlukan, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.

“Wawasan akan terus menyokong usaha memperkukuh pembangkang melalui kerjasama yang lebih luas dan berteraskan kepentingan rakyat.

“Politik tidak seharusnya berkisar kepada perebutan kuasa dalaman. Fokus utama mesti kembali kepada rakyat dan masa depan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo