JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) tidak menamakan calon Menteri Besar Johor sekiranya menang pilihan raya negeri (PRN) kerana tidak ghairah bermain politik persepsi atau menjadikan isu itu sebagai modal meraih undi.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengimbau kembali lipatan sejarah PRN Johor sebelum ini yang perlu dijadikan pengajaran daripada situasi dialami oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Rakyat Johor pastinya masih ingat apabila UMNO dan BN menampilkan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai wajah utama dan poster boy mereka ketika kempen namun akhirnya, yang dilantik sebagai Menteri Besar ialah Datuk Onn Hafiz (Ghazi) sendiri.
“Justeru, tindakan beliau yang beria-ia mendesak PH ketika ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau benar-benar bercakap tentang hak rakyat atau sekadar cuba mencetuskan polemik,” tulis Dr Zaliha menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya.
Menurut Dr Zaliha, fokus utama gabungan itu ketika ini adalah untuk terus turun padang menemui rakyat, mendengar permasalahan mereka serta menawarkan dasar-dasar konkrit demi masa depan negeri.
“Rakyat Johor lebih berminat untuk mengetahui bagaimana taraf hidup mereka boleh ditingkatkan, peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan dan ekonomi negeri dipacu ke hadapan, bukannya siapa yang paling sibuk bermain politik persepsi,” ujarnya.
Katanya, Onn Hafiz tidak seharusnya terlalu bimbang dan mendesak PH mengumumkan calon Menteri Besar Johor mereka.
Beliau menyifatkan desakan tersebut tidak lebih daripada sekadar cubaan untuk mencipta polemik politik dan persepsi, memandangkan pelantikan jawatan nombor satu negeri itu akhirnya tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
Katanya, Onn Hafiz tidak perlu gusar kerana PH mempunyai ramai pemimpin yang layak, berwibawa serta berintegriti untuk memikul amanah tersebut sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
“Apa yang menghairankan, beliau mendesak PH mengumumkan calon Menteri Besar kerana kononnya rakyat berhak tahu, namun pada masa sama menyatakan status poster boy bukan jaminan seseorang akan dilantik ke jawatan itu.
“Jika pelantikan Menteri Besar akhirnya tertakluk kepada proses dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, mengapa isu ini mahu dijadikan modal kempen?” soalnya.
Dr Zaliha berkata, PH Johor menyatakan bahawa pihaknya sentiasa menghormati sepenuhnya Undang-Undang Tubuh Negeri Johor serta kuasa budi bicara Sultan Johor dalam melantik Menteri Besar.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment