KLUANG – Dewan Pemuda Pas Malaysia menegaskan undi daripada seluruh ahli dan penyokong parti itu adalah wajib diberikan kepada semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pendirian tersebut kekal konsisten dan menjadi keutamaan tertinggi parti demi memastikan kemenangan maksimum gabungan berkenaan.
Menurutnya, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini mengenai kesediaan Pas untuk memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi PN perlu dilihat daripada lensa strategi politik yang lebih besar.
”Matlamat utamanya ialah memastikan dominasi Pakatan Harapan (PH) khususnya pengaruh DAP sebagai parti terbesar dalam gabungan itu dapat disekat demi menjaga kepentingan rakyat dan masa depan Negeri Johor.
”Pemuda Pas berpandangan, strategi memecahkan penguasaan PH merupakan satu keperluan yang mesti difahami oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Nadzir berkata, dalam landskap politik hari ini, setiap undi mempunyai nilai strategik yang tinggi dalam menentukan hala tuju pentadbiran Johor pasca-PRN.
“Pertimbangan untuk mengundi calon selain PN di kerusi-kerusi tertentu bukanlah satu dasar umum parti yang bersifat kekal.
”Strategi tersebut boleh berubah mengikut keperluan serta perkembangan semasa.
“Keutamaan Pas tetap konsisten iaitu memperkukuhkan penguasaan politik Melayu-Islam, memastikan kemenangan PN sebanyak mungkin serta menghalang PH dan DAP daripada menguasai Johor,” tegasnya lagi.
Katanya, Pemuda Pas menyeru seluruh jentera, ahli dan penyokong di peringkat akar umbi agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang naratif pihak lawan yang cuba mencetuskan kekeliruan.
“Semua pihak perlu mengekalkan disiplin perjuangan dan mematuhi arahan parti bagi memastikan agenda memenangkan PN di Johor tercapai,” katanya.
PRN Johor 2026 menyaksikan PN meletakkan 11 calon dari Pas , 16 calon dari Bersatu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dengan lima calon dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dengan satu calon.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai blok progresif mengumumkan empat calon dan PSM mempertaruhkan satu calon.
Bagi Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pula, mereka menampilkan 15 calon.
PRN Johor telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 11 Julai dengan hari mengundi awal pada 7 Julai dan penamaan calon berlangsung pada 27 Jun.
Sementara BN dan PH masing-masing bertanding di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai ini adalh sebagai hari mengundi dan mengundi awal akan diadakan pada 7 Julai. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment