BANGI, 13 MUHARRAM – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa keluar mengundi adalah wajib bagi setiap umat Islam untuk memastikan kuasa pemerintahan tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak amanah terhadap agama dan umat Islam.
Beliau berkata, urusan memilih pemimpin dan mentadbir negara melalui politik adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam yang tidak boleh dipisahkan.
“Kini, ramai yang tidak keluar mengundi atau menjual undi sehingga kuasa Islam dirampas. Ada yang berebut jawatan sehingga berpecah belah yang membawa kelemahan, lalu dijajah oleh musuh,” katanya dalam tulisan kolum mingguan, Minda Presiden PAS di Facebook, hari ini.
Pandangan itu dilontarkannya ketika fasa awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di 11 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan bahawa menunaikan kewajipan politik Islam adalah wajib kerana ia merupakan salah satu daripada tiga tujuan Allah SWT menciptakan manusia, iaitu beribadat, berkhilafah (politik) dan beramanah dalam melaksanakan hukum Allah yang maha adil.
Beliau turut menolak fahaman sekularisme yang memisahkan politik daripada agama, menyifatkannya sebagai ajaran sesat yang dibawa masuk oleh penjajah untuk melemahkan umat Islam agar menyerahkan urusan pentadbiran negara kepada penjajah.
Presiden PAS menggesa masyarakat Melayu Islam supaya bersatu memilih pemimpin dalam kalangan umat Islam serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem, sambil menolak pihak bukan Islam ekstrem yang didakwanya merancang menguasai negara.
Beliau berkata, pihak tersebut “bergabung dengan Melayu yang liberal dan tidak cinta akan agama dan bangsanya sendiri.”
Bagaimanapun, katanya ini tidak bermakna umat Islam bersikap fanatik kerana Islam tetap mewajibkan sifat adil kepada seluruh manusia dalam memimpin masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment