NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi ramal PRN Melaka Oktober ini, umum kerusi Bersama awal Ogos



MELAKA – Parti Bersama Malaysia (Bersama) dijangka memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seawal Ogos ini selepas meneliti data penerimaan pengundi di seluruh negara.

Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, proses mengenal pasti kerusi parti menggunakan logo kancil itu yang akan bergerak solo kini sedang berjalan dan melibatkan semua negeri termasuk Melaka.

Menurutnya, perancangan untuk mengumumkan calon lebih awal sedikit terganggu susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan bagi memberi tumpuan kepada dua PRN berkenaan sebelum giliran Melaka yang diramalnya pada Oktober ini.

“Setakat ini kita tumpu kepada Johor dan Negeri Sembilan. Tetapi proses mengenal pasti kerusi bukan sahaja untuk Melaka, malah seluruh negara sedang berjalan.

“Saya ingat menjelang awal Ogos nanti kita sudah boleh tahu berapa kerusi yang akan ditandingi di Melaka cuma kita perlukan lebih kurang sebulan lagi untuk meneliti tahap penerimaan pengundi di seluruh negara termasuk Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada selepas Siri Kedua Jelajah Kancil di Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, malam tadi.

Hadir sama, bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Mei lalu.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, Bersama sebagai parti pelbagai kaum yang bergerak solo mempunyai kelebihan untuk bertanding di mana-mana kerusi, namun keputusan akhir bergantung kepada tahap sokongan dan penerimaan pengundi.

Katanya, walaupun jumlah keahlian Bersama di Melaka tidak sebesar negeri seperti Selangor, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan, sambutan yang diterima setakat ini dianggap memberangsangkan.

“Keahlian itu satu perkara, tetapi yang lebih penting ialah tahap kesungguhan penyokong.

“Kalau lihat program seperti malam ini yang berjaya menarik kehadiran ramai orang walaupun pada Ahad malam Isnin jadi saya rasa ia sesuatu yang memberangsangkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, bekas Menteri Eknonomi dan Ahli Parlimen Pandan itu sekali lagi menegaskan Bersama akan kekal dengan pendirian bertanding secara solo.

Rafizi berkata, adalah penting untuk Bersama tidak  mengadakan rundingan atau kerjasama pilihan raya dengan mana-mana gabungan parti politik termasuk termasuk MUDA yang menyuarakan kesediaannnya untuk membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti dalam blok pembangkang.

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan tujuan penubuhan Bersama yang mahu menawarkan pilihan politik baharu tanpa terikat dengan agenda atau pendirian parti lain.

“Kita memang sudah umumkan dari hari pertama bahawa Bersama akan bertanding secara solo dan tidak akan berbincang dengan sesiapa (kerana) kita mahu bergerak bebas dan membawa model politik baharu,” katanya.

Pada masa sama, Rafizi turut membayangkan PRN Melaka mungkin berlangsung pada Oktober depan selain menyifatkan negeri itu sebagai antara kawasan yang berpotensi menjadi tapak Bersama pada masa hadapan.

“Orang Melaka, saya yakin wadah seperti Bersama ini kena dengan selera orang Melaka. Daripada banyak negeri yang ada, saya fikir salah satu negeri yang Bersama boleh bertapak untuk jangka masa panjang dan menjadi kuat ialah Melaka.

“Kita akan jumpa balik sebab PRN Melaka tak lama lagi dah, Oktober 2026 kan?,” katanya lagi. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo