KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpotensi muncul sebagai blok pembangkang utama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Presiden PUTRA, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, walaupun partinya tidak bertanding pada PRN Johor kali ini namun secara terbuka memberikan sokongan kepada 16 calon Bersatu yang bertanding atas dasar hubungan strategik dalam Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR) serta jemputan daripada Bersatu sendiri.
Menurut beliau, sokongan politik tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah bendera, jentera atau petugas kempen semata-mata, sebaliknya turut dinilai menerusi keberanian menyatakan pendirian serta kesetiaan terhadap rakan seperjuangan.
“Atas prinsip itu, PUTRA memberikan sokongan penuh kepada calon-calon BERSATU dan merayu pengundi di 16 DUN yang ditandingi parti itu supaya memberikan undi bagi memastikan kemenangan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas landskap politik Johor, Ibrahim berkata, negeri itu mempunyai sejarah dan budaya politik tersendiri yang tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kiraan angka atau sentimen semasa.
Katanya, UMNO yang lahir di bumi Johor mempunyai ikatan sejarah yang kukuh dengan masyarakat Melayu negeri itu sehingga menjadi sebahagian daripada identiti politik mereka sejak sebelum dan selepas kemerdekaan.
“Atas faktor itu, saya menjangkakan UMNO-BN akan terus memenangi PRN Johor dan membentuk kerajaan negeri pada 11 Julai ini,” katanya yang dikenali Tok Him.
Beliau berpandangan, Pakatan Harapan (PH) masih belum mampu menggugat dominasi BN di negeri berkenaan manakala DAP dijangka terus mempertahankan sebahagian besar kerusi tradisinya terutama di kawasan bandar dan kawasan majoriti pengundi bukan Melayu.
Dalam pada itu, Ibrahim turut menyifatkan arahan Pas supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon UMNO-BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) sebagai usaha mengambil kredit terhadap kemenangan yang belum berlaku.
Menurut beliau, prestasi Pas pada PRN Johor sebelum ini menunjukkan parti itu hanya memenangi satu daripada 15 kerusi yang ditandingi.
Justeru, beliau berpandangan, kekuatan sebenar Pas akan dapat dinilai menerusi keputusan di 11 kerusi yang ditandinginya kali ini menggunakan logo PN.
“Saya bukan anti-Pas atau menyokong UMNO. Saya hanya memberikan pandangan berdasarkan perkembangan politik semasa,” katanya.
Ibrahim bagaimanapun menegaskan, kemenangan BN tidak bermaksud Johor tidak memerlukan pembangkang yang kuat kerana sistem semak dan imbang amat penting bagi memastikan kerajaan terus bertanggungjawab kepada rakyat.
Beliau berkata, kemenangan calon-calon Bersatu di 16 kerusi yang ditandingi mampu mewujudkan blok pembangkang yang berani, berwibawa dan berfungsi sebagai suara semak dan imbang terhadap kerajaan negeri.
Katanya, walaupun Bersatu berdepan pelbagai cabaran politik termasuk tekanan daripada Pas, parti itu masih menunjukkan keteguhan dengan meletakkan calon di kawasan yang ditandingi serta terus membawa suara rakyat.
“Saya menghormati keberanian Bersatu yang tidak berundur daripada gelanggang walaupun berdepan pelbagai tekanan.
“Kalah atau menang ditentukan rakyat tetapi maruah sesebuah parti ditentukan oleh keberanian untuk terus berjuang,” katanya.
Mengulas tindakan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi keluar daripada UMNO, Ibrahim berpendapat, perkara itu tidak akan memberi kesan besar terhadap kekuatan UMNO Johor.
Menurut beliau, UMNO Johor jauh lebih besar daripada mana-mana individu dan tindakan berkenaan tidak akan mengubah corak sokongan pengundi secara signifikan.
Dalam kenyataan sama, Ibrahim turut menzahirkan keyakinan rakyat Johor akan terus mendapat pembelaan di bawah naungan Institusi Diraja Johor yang sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap pentadbiran, pembangunan dan kebajikan rakyat tanpa mengira parti yang mentadbir.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pendirian PUTRA adalah menghormati sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri.
Bagaimanapun pada masa sama, Ibrahim menggesa pengundi di 16 kawasan yang ditandingi Bersatu memberikan sokongan kepada calon parti itu bagi memastikan wujud pembangkang yang kuat, berani dan bermaruah demi kepentingan semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.
Sementara itu, Setiausaha Agung PUTRA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif pula berkata, kepimpinan parti itu akan turun padang sepanjang tempoh berkempen bagi membantu usaha kempen parti-parti rakan IPR, khususnya Bersatu.
Ujarnya, sokongan itu akan diberikan menerusi pelbagai bentuk kempen termasuk ceramah secara fizikal selain kempen di platform digital dan media sosial.
“PUTRA yang masih menjalin kerjasama longgar dalam IPR akan memenuhi jemputan menyertai siri ceramah dan program kempen di kawasan yang memerlukan penyertaan parti itu, termasuk kawasan yang ditandingi calon-calon Bersatu.
“Kehadiran PUTRA adalah sebagai tanda sokongan terhadap rakan-rakan yang berkongsi matlamat perjuangan, tanpa mengganggu perjalanan atau strategi kempen mana-mana parti yang bertanding,” tambahnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment