NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PKR tidak akan ikut rentak Wong Chen – Sivamalar



KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan melayan sebarang tekanan atau cubaan memaksa parti itu bertindak mengikut rentak yang ditentukan oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Sebaliknya, parti ini akan terus membuat keputusan berdasarkan prinsip, perlembagaan parti dan kepentingan perjuangan yang lebih besar.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, Wong Chen perlu menghentikan apa yang disifatkannya sebagai ‘sandiwara politik’ dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebenar sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, ketika pemimpin dan anggota parti sedang berusaha memperkukuh keyakinan rakyat, Ahli Parlimen Subang itu dilihat memilih untuk terus mencetuskan pelbagai kontroversi politik.

“Rakyat Subang tidak memilih seorang ‘content creator’politik, sebaliknya memilih seorang wakil rakyat yang sepatutnya fokus menyelesaikan masalah rakyat.

“Tiada siapa dihukum kerana mempunyai kawan atau menghadiri acara awam.

“Persoalan sebenar ialah sama ada seseorang wakil rakyat masih komited kepada mandat, perjuangan dan platform politik yang diwakilinya ketika dipilih oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sivamalar berkata, Wong Chen memenangi kerusi Parlimen Subang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 115,074 undi atas tiket PKR dan Pakatan Harapan (PH) dan kemenangan itu tidak boleh dianggap sebagai kejayaan individu semata-mata.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan dibina hasil pengorbanan ribuan anggota, sukarelawan dan penyokong yang bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar tersebut.

“Jangan cuba mencipta persepsi bahawa mandat itu datang semata-mata daripada populariti beliau sendiri,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan tindakan Wong Chen yang didakwa dilihat mempromosi dan memberikan legitimasi kepada sebuah gerakan politik yang sedang membina alternatif kepada parti yang diwakilinya.

Katanya, tindakan itu bukan lagi soal kebebasan bersuara atau hak untuk berkawan, sebaliknya membabitkan kejelasan pendirian politik, integriti terhadap mandat pengundi dan kesetiaan kepada perjuangan parti.

“Tidak ada parti politik di dunia yang boleh berfungsi dengan baik jika pemimpinnya bebas berkempen untuk platform politik lain sambil terus menikmati kedudukan yang diperoleh melalui parti asal.

“Beliau juga sentiasa memainkan naratif bahawa dirinya menjadi mangsa penganiayaan. Hakikatnya, tiada siapa memaksa beliau menghadiri program parti lain atau mencabar parti sendiri secara terbuka,” ujarnya.

Sivamalar berkata, semua kontroversi yang timbul hari ini adalah hasil daripada pilihan politik yang dibuat oleh Wong Chen sendiri.

Beliau turut menggesa Ahli Parlimen Subang itu menyatakan pendirian secara terus terang sekiranya sudah tidak lagi yakin dengan perjuangan Keadilan.

“YB Wong Chen tidak boleh berada dalam dua perahu pada masa yang sama.

“Rakyat Subang adalah pengundi celik politik dan mampu menilai sendiri siapa yang benar-benar fokus berkhidmat kepada rakyat dan siapa yang lebih berminat mencipta polemik politik yang berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette













........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo