NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pas bukan penumpang, tapi parti pengasas dan tonggak utama PN – Sukri Omar



KUALA LUMPUR – Tidak wajar melabelkan Pas sebagai `penumpang’ dalam Perikatan Nasional (PN) kerana parti itu merupakan antara pengasas utama gabungan tersebut selain menjadi komponen terbesar dari segi kekuatan akar umbi, jentera dan jumlah kerusi yang dimenangi.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, dakwaan bahawa kedudukan Pas dalam PN menjadi janggal sekiranya parti itu tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap Bersatu adalah pandangan yang tidak menggambarkan realiti sebenar dalam gabungan berkenaan.

“Persoalan lebih relevan ketika ini bukan mengenai kedudukan Pas dalam PN, sebaliknya mengapa masih terdapat pihak terus mempertikaikan keputusan kepimpinan dan hala tuju yang dipersetujui bersama dalam gabungan tersebut.

“Pas adalah parti pengasas PN dan antara penandatangan rasmi penubuhannya. Kedudukan Pas dalam PN tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu atau parti.

“Ini kerana Pas sendiri adalah sebahagian daripada asas yang membentuk gabungan ini sejak awal,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menegaskan PN bukan hanya dianggotai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semata-mata, sebaliknya melibatkan parti komponen lain seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Malaysian Indian People’s Party (MIPP).

“Masa depan PN tidak boleh ditentukan berdasarkan kepentingan atau kemelut dalaman sesebuah parti kerana tiada mana-mana komponen mempunyai hak eksklusif ke atas gabungan berkenaan,” katanya.

Mohamed Sukri juga berkata, Pas kini merupakan parti terbesar dalam PN dari sudut keahlian, kekuatan organisasi dan sokongan akar umbi selain memegang jawatan Pengerusi PN.

“Justeru adalah tidak munasabah untuk menggambarkan Pas sebagai pihak yang perlu mempersoalkan kedudukannya dalam gabungan yang turut diasaskannya sendiri,” katanya.

Menurut Mohamed Sukri, kestabilan dan keutuhan sesebuah gabungan politik bergantung kepada disiplin, kepercayaan serta penghormatan terhadap keputusan bersama.

“Mana-mana parti yang berdepan masalah dalaman perlu menyelesaikan isu tersebut secara dalaman tanpa mengheret keseluruhan gabungan untuk menanggung kesannya.

“PN tidak boleh dibina atas andaian bahawa survival politik mana-mana parti adalah syarat kepada kelangsungan gabungan.

“Hakikatnya, PN lebih besar daripada mana-mana satu parti dan mesti bergerak atas dasar prinsip, integriti serta kepentingan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, Pas akan terus mempertahankan semangat muafakat dan memperkukuh blok pembangkang, namun tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan disiplin gabungan, penghormatan terhadap perlembagaan PN dan kestabilan organisasi.

“PN bukan milik mana-mana satu parti. Ia adalah milik semua parti komponen yang membinanya bersama.

“Jika ada pihak yang merasakan mereka tidak lagi mampu bergerak dalam kerangka tersebut, maka mereka perlu menilai semula kedudukannya, bukan mempersoalkan hak parti pengasas untuk terus memimpin dan memperkukuh gabungan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo