Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada ketirisan subsidi diesel RM2.15 seliter yang turut dinikmati syarikat besar termasuk syarikat asing sebelum mengurangkan bantuan kepada rakyat biasa.
Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, subsidi diesel diwujudkan untuk membantu pengendali logistik tempatan dan memastikan kos pengangkutan barangan keperluan rakyat dapat dikawal.
Namun katanya, timbul persoalan apabila diesel subsidi yang digunakan untuk mengangkut beras dan sayur-sayuran turut dinikmati lori yang membawa produk syarikat multinasional termasuk minuman antarabangsa, arak import dan barangan mewah.
“Lori yang membawa beras ke Kelantan menggunakan diesel subsidi RM2.15 seliter. Lori yang membawa minuman ringan jenama antarabangsa, arak atau barangan mewah import ke gudang besar di Shah Alam juga menikmati kadar subsidi yang sama.
“Sedangkan syarikat-syarikat tersebut memperoleh keuntungan berbilion ringgit setiap tahun,” katanya dan turut menegaskan jika keadaan itu terus dibiarkan, amat tidak adil rakyat pula menanggung kesan melalui pengurangan kuota BUDI95.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan, rakyat luar bandar paling terkesan kerana masih bergantung kepada kenderaan sendiri akibat kekurangan sistem pengangkutan awam.
“Seorang guru di Gua Musang mungkin perlu memandu puluhan kilometer setiap hari untuk ke sekolah, manakala nelayan di Tumpat memerlukan bahan api bagi menjalankan aktiviti harian mereka.
“Kuota 150 liter mungkin mencukupi bagi penduduk bandar yang mempunyai akses MRT dan pengangkutan awam. Tetapi bagi rakyat luar bandar, setiap liter petrol amat bermakna,” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan penggunaan data purata nasional yang dikatakan menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 150 liter sebulan.
“Angka purata tidak menggambarkan realiti sebenar penduduk kampung dan kawasan pedalaman di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai alternatif selain menggunakan kenderaan sendiri,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengetatkan syarat penggunaan diesel subsidi di bawah SKDS serta mengasingkan kategori barangan yang layak menerima subsidi.
Katanya, barangan asas seperti beras, sayur-sayuran dan ubat-ubatan wajar terus menikmati subsidi penuh, manakala syarikat makanan segera asing, minuman global dan barangan mewah perlu menanggung sendiri kos logistik mereka.
Beliau turut mencadangkan pengendali lori di bawah SKDS diwajibkan mengisytiharkan jenis serta pemilik barangan yang diangkut bagi memastikan subsidi benar-benar sampai kepada rakyat.
“Logiknya mudah, tutup kebocoran korporat terlebih dahulu sebelum menyentuh poket rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment