NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aliran tahfiz jadi kosmetik tempelan untuk ‘halalkan’ UEC - Pas Selangor




SHAH ALAM
: Kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik permainan persepsi dengan menggunakan aliran tahfiz sebagai alasan untuk membenarkan pelajar lepasan SPMC dan UEC mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, selama ini aliran tahfiz tidak pernah menjadi halangan untuk memasuki IPTA kerana pelajar tahfiz tetap menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar lain.

Beliau berkata, berbanding lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), lepasan tahfiz melanjutkan pengajian ke IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui saluran sedia ada.

“Malah, ramai lepasan tahfiz berjaya menjadi doktor, jurutera, pensyarah, agamawan dan profesional dalam pelbagai bidang,” katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan keperluan kerajaan mengeluarkan kenyataan khas kononnya lepasan tahfiz kini ‘berpeluang’ memasuki IPTA, sedangkan perkara tersebut telah lama berlaku dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, rakyat dapat melihat bahawa isu sebenar yang ingin diketengahkan kerajaan adalah berkaitan laluan kemasukan kepada lepasan UEC.

“Bagi mengurangkan sensitiviti politik dan reaksi rakyat, nama ‘tahfiz’ diletakkan sekali supaya naratif itu nampak lebih seimbang dan mudah diterima masyarakat Melayu-Islam,” ujarnya.

Beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai ‘wayang politik persepsi’ apabila aliran tahfiz dijadikan tempelan untuk menutup fokus sebenar dasar yang ingin diperkenalkan kerajaan.

Tambah Sukri, sekiranya kerajaan benar-benar serius dalam memperkasa pendidikan tahfiz, masih terdapat pelbagai isu utama yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya, antara perkara yang perlu diperkasakan termasuk bantuan kepada institusi tahfiz, kebajikan guru tahfiz, pembangunan kurikulum, pengiktirafan institusi.

Selain gesanya, institusi tahfiz juga perlu diberi akses kepada teknologi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain peluang pekerjaan bagi graduan tahfiz.

“Jangan gunakan nama tahfiz sekadar kosmetik politik untuk menghalalkan agenda lain. Rakyat hari ini semakin celik. Tidak semua boleh diselindungkan dengan wayang dan permainan persepsi atas nama ‘Madani’,” katanya lagi.

Isu pengiktirafan UEC bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama dan sering menjadi polemik dalam landskap pendidikan negara.

UEC merupakan peperiksaan yang digunakan oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan tidak berada dalam kerangka sistem pendidikan kebangsaan seperti SPM.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa calon lepasan SMPC atau UEC kini diberikan laluan untuk memasuki IPTA.

Dalam kenyataan sama, kementerian itu turut menyatakan bahawa pelajar di luar sistem pendidikan kebangsaan lain, termasuk dari sekolah swasta dan institusi tahfiz, juga dibuka laluan yang sama.

Menurut KPT, semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti. – HARAKAHDAILY 15/5/2026









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo