Beliau menjelaskan, Perlembagaan memperuntukkan bahawa terdapat keadaan tertentu di mana titah Tuanku mempunyai kesan dan boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah, manakala dalam keadaan lain ia tidak membawa implikasi undang-undang secara langsung.
Namun, perkara itu tidak menafikan kedudukan institusi raja dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara.
“Ini bukan sistem monarki mutlak. Dalam beberapa keadaan titah itu binding dan dalam keadaan lain mahkamah tidak memberi kesan perundangan,” katanya.
Menurut beliau lagi, Perlembagaan tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong atau Sultan daripada mengeluarkan nasihat atau titah dalam kapasiti baginda sebagai ketua negara dan ketua negeri.
Katanya, kedudukan institusi raja yang termaktub dalam Perlembagaan meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara, ketua eksekutif, ketua legislatif, ketua tentera dan ketua hal ehwal agama Islam di peringkat tertentu.
“Titah yang dizahirkan datang daripada kedudukan tertinggi yang dipersetujui dalam Perlembagaan. Sebagai rakyat, kita telah bersetuju dan wajib menghormati institusi ini,” jelasnya.
Beliau turut menyamakan konsep penghormatan terhadap titah dengan hierarki kepimpinan dalam institusi lain seperti ketua keluarga, Ketua Setiausaha Negara, Speaker Dewan Rakyat, ketua tentera dan Ketua Hakim Negara, yang masing-masing mempunyai autoriti dalam bidang kuasa tersendiri.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa konsep tersebut membentuk “social cohesion” yang menjadi asas kepada keamanan dan perpaduan negara.
Dari sudut sejarah, beliau menjelaskan bahawa titah Sultan suatu ketika dahulu mempunyai kesan undang-undang yang lebih luas ketika sistem monarki mutlak diamalkan, namun selepas kemerdekaan, hanya beberapa keadaan tertentu sahaja yang memberi kesan perundangan secara langsung.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa walaupun titah tidak semestinya mempunyai kesan undang-undang, ia tetap perlu dihormati dan tidak wajar dipandang ringan.
Dalam kenyataannya, Lukman turut merujuk kepada pandangan Ahli Parlimen Tony Pua yang didakwa menggambarkan bahawa titah raja tidak mempunyai nilai dan tidak perlu diikuti, dengan menyifatkan pandangan itu sebagai tidak tepat serta berpotensi merendahkan kedudukan institusi raja.
Beliau menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai berbahaya kerana boleh menjejaskan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi salah satu tonggak kepada kestabilan dan keharmonian negara.
“Walaupun kita boleh tidak bersetuju, ia mesti dilakukan dengan beradab dan mengambil kira kedudukan Tuanku sebagai ketua negara,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment