NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bantah UEC bukan bermaksud tolak budaya, bahasa sesuatu kaum




BANGI, 6 ZULHIJJAH – Pertubuhan Rumah Melayu (PRM) menegaskan bahawa bantahan yang disuarakan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan bermaksud menolak budaya atau bahasa sesuatu kaum.

Presidennya, Azmi Othman berkata, penolakan itu adalah demi kebaikan jangka panjang terutama daripada aspek perpaduan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum.

Beliau berkata, isu pengiktirafan UEC bukan sekadar soal pendididkan semata-mata, bahkan ia menyentuh masa depan pembinaan bangsa, identiti nasional, perpaduan rakyat serta hala tuju negara dalam membentuk generasi yang lebih bersatu.

Jelas beliau, UEC ialah sistem peperiksaan yang digunakan oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina di Malaysia yang diuruskan oleh Dong Zong sejak 1975 dengan penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama serta silibus tersendiri yang berada di luar kurikulum kebangsaan.

“Walaupun ada pihak yang melihat UEc sebagai simbol penghormatan kepada kepelbagaian budaya dalam negara majmuk, PRM melihat pengiktirafan rasmi terhadap UEC berpotensi membawa implikasi besar terhadap usaha integrasi nasional.

“Malaysia sejak kemerdekaan dibina atas semangat penyatuan rakyat pelbagai kaum melalui satu identiti kebangsaan.

“Sistem pendidikan sepatutnya menjadi medium utama untuk membentuk rasa kebersamaan, saling memahami budaya dan membina semangat ‘rakyat Malaysia’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Azmi berkata, kewujudan satu sistem pendidikan yang berkembang secara terpisah daripada arus nasional dengan menggunakan bahasa pengantar dan silibus berbeza selain kurang memberi penekanan terhadap mata pelajaran kenegaraan dibimbangi akan mendorong jurang antara kaum terus melebar.

Justeru, katanya, pengiktirafan UEC boleh menghakis identiti nasional apabila tahap asas kenegaraan tidak diwajibkan secara menyeluruh seperti dalam sistem pendidikan kebangsaan.

“Pengisian subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam sistem UEC tidak selaras dengan keperluan wajib SPM yang menjadi asas pembentukan identiti negara.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang penyatuan rakyat dan asas pembinaan negara bangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi menegaskan bahawa pihaknya tidak menolak kepentingan penguasaan bahasa Mandarin dalam konteks ekonomi serantau yang semakin dipengaruhi China.

Namun katanya, kelebihan penguasaan bahasa asing masih boleh diperkukuhkan melalyu sistem pendidikan kebangsaan sendiri tanpa perlu mengorbankan asas integrasi nasional.

“Malah, sekolah kebangsaan hari ini juga telah membuka ruang pembelajaran bahasa Mandarin sebagai mata pelajaran pilihan.

“Kepelbagaian budaya wajar dihormati, namun ia mesti diseimbangkan dengan usaha memperkukuh integrasi nasional dan semangat kebangsaan bersama.

“Pendidikan seharusnya menjadi jambatan penyatuan rakyat, bukan ruang yang melebarkan jurang pemisahan antara kaum demi masa depan Malaysia yang lebih bersatu dan harmoni,” tambah beliau.


Sumber | TV Pertiwi











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo