NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Tahniah Presiden UMNO' - Fadhli Shaari sindir isu festival air kontroversi



SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Tahniah Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri turut bantah penganjuran program yang kontroversi itu.

“Selepas ini saya yakin Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) akan turut juga membantah. Diikuti Setiausaha Agung DAP,” katanya ringkas dalam hantaran terbaharu di Facebook pada Jumaat.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas tidak memperincikan mengapa beliau yakin pemimpin parti lain dalam Kerajaan Madani akan turut sama membantah penganjuran festival tersebut.

Namun dipercayai ia ekoran program tersebut tetap berlangsung meskipun bantahan penganjurannya telah dibuat ramai pihak.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, setiap penganjuran program hiburan perlu mematuhi prinsip tidak mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan.

Menurutnya, pandangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan wajar dihormati kerana mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia.

Katanya, UMNO memandang serius pandangan kedua-dua agensi berhubung penganjuran program seumpama Rain Rave Water Music Festival 2026.

“Sehubungan itu, kami meminta supaya program seumpama ini diteliti semula daripada segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya.

“Garis panduan juga perlu diperkemas dan diperketatkan agar setiap penganjuran selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara,” katanya.

Penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 itu bermula Khamis hingga Sabtu mencetuskan kontroversi apabila ia didakwa berpotensi menjejaskan nilai dan sensitiviti masyarakat tempatan.

Jawi membantah penganjuran program berkenaan yang dilihat boleh membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Bayan Linnas Siri Ke-351 pula menegaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia perlu tertakluk kepada garis panduan syarak serta tidak mengandungi unsur maksiat.


Sumber | Sinar Harian








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo