BANGI, 13 ZULKAEDAH – Penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave terus mencetuskan kritikan apabila dianggap mencabar sensitiviti serta nilai masyarakat, selain menimbulkan persoalan terhadap keutamaan kerajaan dalam mengurus negara.
Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar isu hiburan, sebaliknya mencerminkan kelemahan dalam dasar serta pendekatan kerajaan terhadap aspek moral dan budaya.
Menurutnya, dalam keadaan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, tindakan membenarkan penganjuran acara hiburan berskala besar itu menimbulkan persoalan mengenai keutamaan kerajaan.
“Rakyat sedang ikat perut, tetapi kerajaan membenarkan pesta hedonisme. Ini memberi mesej yang mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengkritik pendekatan pelancongan yang didakwa terlalu bergantung kepada hiburan melampau sehingga mengabaikan nilai dan adab masyarakat tempatan.
Menurutnya, Malaysia masih mempunyai banyak pilihan untuk menarik pelancong tanpa perlu mengorbankan prinsip moral dan budaya.
Dalam masa sama, beliau menggesa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing agar meletakkan jawatan susulan siri kontroversi yang berlaku.
Mohd Zai turut membangkitkan satu lagi isu melibatkan paparan Jata Negara yang dikaitkan dengan hidangan arak dalam satu majlis rasmi MOTAC baru-baru ini, yang disifatkan sebagai tidak wajar dan mencabar simbol kedaulatan negara.
Menurutnya, perkara itu mencerminkan kelemahan dalam menjaga sensitiviti serta maruah institusi negara.
Beliau juga mengingatkan kepimpinan negara agar lebih peka terhadap sensitiviti rakyat dan tidak mengabaikan nilai asas dalam pentadbiran.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment