BANGI, 4 ZULHIJJAH – Penyelidik dan ahli arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman tampil mempertahankan dirinya selepas didakwa memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berhubung isu penukaran status tanah di Taman Segar, Cheras, baru-baru ini.
Zaharah mendakwa, beliau bukan menuduh, sebaliknya sekadar mengajukan persoalan kepada Ahli Parlimen Segambut itu mengenai proses pertukaran tanah secara umum di kawasan Cheras.
Menurut beliau, banyak kawasan di Cheras telah mendapat kelulusan penukaran daripada ‘leasehold’ kepada ‘freehold’.
“Itu pertanyaan sebenarnya, bukan tuduhan. Saya pun tidak akan berani nak cakap (bertanya) kalau tidak ada bahan yang sahih.
“Cuma saya pun tidak pasti dengan perkembangan di peringkat Pejabat Tanah kerana tidak diceritakan (secara umum),” katanya kepada TV Pertiwi.
Mengulas lanjut, Zaharah berkata, persoalan ini mula dibangkitkan selepas melihat hantaran yang dibuat oleh akaun DAP Cheras pada 31 Januari yang lalu yang memaklumkan telah berjaya membantu 150 pemilik kediaman dan lot kedai di Taman Segar menukarkan status pegangan ‘leasehold’ 99 tahun kepada pegangan ‘freehold’ menerusi proses perundangan.
Dalam hantaran itu, turut dinyatakan pasukan itu sebelum ini telah berjaya membantu 600 pemilik kediaman di Taman Connought untuk perkara sama.
Dijelaskan juga, bahawa mereka sedang mengusahakan kes sama membabitkan beberapa kawasan perumahan lain di Parlimen Cheras dan Bandar Tun Razak termasuk Bukit Anggerik, Taman Len Seng, Taman Orkid Desa, Taman Supreme, Cheras Jaya, Taman Billion, Taman Suet Chow, Taman Sri bahtera dan Taman Rakyat.
Justeru, Zaharah berkata, orang Cina yang dimaksudkan dalam video sebelum ini merujuk kepada kejayaan DAP membantu penduduk di kawasan tersebut yang majoritinya adalah daripada kaum Cina.
“Di sini saya ingin menjelaskan, sekiranya kita membeli tanah, memang tanah itu mula-mulanya status ialah ‘freehold’ – kerana tanah simpanan kerajaan.
“Jadi, apabila dijual kepada sesiapa sahaja, ditukar kepada leasehold – kebanyakannya mendapat 99 tahun,” katanya sambil menambah situasi ini sama di negeri lain.
Ujarnya lagi, Zaharah menegaskan bahawa rakaman video yang tular itu sebenarnya bukan sekadar persoalan tetapi mengakui kejayaan oleh DAP menukarkan status tanah.
Justeru, persoalan diajukan supaya ‘formula’ sama boleh digunakan untuk di kawasan yang majoriti penduduk Melayu supaya kejayaan sama turut boleh dicapai.
“Ramai dah cuba, ramai yang menangis ketika berdepan isu tanah termasuk apabila kerajaan mengambil semula tanah yang diduduki, tanah yang dijual tanpa mereka mengetahui.
“Jadi itu yang saya nak mohon bantuan. Saya sebut di situ, macam mana atau adakah terdapat ‘formula’ tertentu atau mungkin terdapat ‘perhubungan’ pejabat tanah dalam menyelesaikan isu ini.
“Semua ini tidak disiarkan secara umum, yang ada hanya sekadar pengumuman kejayaan seperti yang dinyatakan DAP Cheras,” katanya.
Zaharah dalam rakaman video kelmarin mempersoalkan bagaimana Hannah berjaya menukar status rumah di Taman Segar, Cheras daripada pegangan ‘leasehold’ kepada ‘freehold dalam tempoh singkat.
Susulan itu, Hannah menyifatkan kenyataan itu sebagai fitnah dan telah membuat laporan polis.
Pada masa sama, Pejabat Pengarah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWPKL) dalam kenyataan semalam berkata, proses penukaran status tanah di Taman Segar itu tidak melibatkan Menteri atau wakil rakyat.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment