SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan keanggotaan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad tergugur selepas mereka mengisytiharkan keluar parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan tersebut dibuat mengikut Fasal 9(1)(c) dalam Perlembagaan parti selepas menerima hasrat keluar parti daripada bekas Timbalan Presiden dan bekas Naib Presiden itu.
“PKR menerima rakaman ucapan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen dan keluar daripada parti, hari ini.
“Pengisytiharan itu adalah jelas bertepatan dengan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan.
“Ia menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut, setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi dalam Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik mengesahkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing serta menyertai sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Sementara itu, Fuziah memaklumkan akan merujuk kes membabitkan dua bekas menteri itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai status mereka sebagai Ahli Parlimen, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, beliau menjelaskan PKR juga akan menentukan keanggotaan Ahli Parlimen lain yang hadir pada program berkenaan iaitu Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment