KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya menegaskan, Malaysia mampu mengecapi keamanan sebenar tanpa DAP yang menurutnya menjadi punca perpecahan dan ketegangan dalam negara.
Beliau menyatakan, rakyat sepatutnya akur terhadap titah Sultan, apatah lagi apabila perkara itu sudah diulang beberapa kali oleh institusi istana.
“Apabila Tuanku Sultan bertitah, seharusnya kita akur. Apatah lagi titah Tuanku Sultan diulang-ulang beberapa kali.
“Apakah sukar untuk kita memahaminya… Tak susah kan? Namun, tidak sesekali bagi parti berlatar belakang cauvinis seperti DAP yang masih tegar ‘bertembung’ dengan istana,” tempelak beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan balas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Penasihat Dasar kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua Kiam Wee terhadap titah dan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mengajak rakyat merenung punca ketegangan kaum yang masih berlaku walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan sejak beberapa dekad lalu.
“Siapa yang lantang mempertahankan industri dosa (iaitu) arak dan judi dalam negara?
“Siapa yang lantang mempertahankan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) meskipun telah diketahui akar pendidikannya tidak bertunjang kebangsaan?
“Siapa yang lantang mempertahankan pilihan raya PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), meskipun telah dijelaskan perpecahan kaum akan kian ketara?
“Siapa yang masuk campur urusan umat Islam termasuklah dalam bab persijilan halal dan undang-undang syariah sesuka hati?
“Siapa yang tidak bersungguh mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai keutamaan dan masih menerapkan bahasa lain?” soal beliau.
Sehubungan itu beliau menegaskan, negara masih terperangkap dalam isu-isu tersebut kerana ada pihak yang tegar memperjuangkannya meskipun menyedari isu-isu sedemikian sangat sensitif.
“Justeru, bagaimana kita mahu memikirkan soal yang lebih besar khususnya aspek perpaduan nasional dan pembinaan negara bangsa.
“Sedangkan masih ada pihak yang suka ‘mencarik’ perpaduan yang dibina sedikit demi sedikit? Mustahil,” katanya.
Menurut Ahmad, semua isu yang dibangkitkan itu menjurus kepada DAP yang disifatkannya menjarakkan keharmonian masyarakat selama ini.
“Kedegilan mereka sebenarnya menjarakkan keharmonian sesama kita selama ini. Kedegilan merekalah menyebabkan negara dan rakyat terus retak dalam sengketa dan perpecahan,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Susulan itu, Tony Pua Kiam Wee yang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara, dalam kenyataannya mendakwa, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.
“Namun secara umumnya, kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri,” dakwa beliau menerusi hantaran di media sosial miliknya baru-baru ini.
Dalam kenyataannya itu lagi, beliau juga mendakwa, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Beliau juga mendakwa, sebaliknya negara ini mempunyai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dianggotai wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk membuat undang-undang dan keputusan tersebut.
Tambah beliau, perkara itu selaras sepenuhnya dengan Rukun Negara khususnya prinsip kedua, ketiga dan keempat iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Bukan titah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment