SHAH ALAM- Seluruh saf kepimpinan dan anak muda Pas perlu bersedia menerima sebarang keputusan lanjut hasil penelitian dan kajian yang akan diputuskan oleh parti demi maslahat perjuangan dan kestabilan gabungan.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia susulan kenyataan Presiden Pas yang menegaskan keperluan untuk mengkaji semula bentuk kerjasama dan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, pendirian tersebut wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Ini kerana katanya, dalam membina sebuah kesefahaman politik yang kukuh dan berprinsip, setiap keputusan serta tindakan perlu dilihat menerusi kerangka lebih besar iaitu berasaskan perbincangan bersama dan hala tuju kolektif antara semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
"Perkara utama ketika ini ialah memperkukuhkan peranan PN sebagai semak imbang paling kuat terhadap kerajaan yang semakin gagal menangani pelbagai isu rakyat termasuk kos sara hidup, tekanan ekonomi dan ketidakstabilan pentadbiran negara.
"Justeru, tumpuan seluruh pimpinan dan jentera parti seharusnya diberikan secara kolektif kepada usaha memperkukuhkan muafakat pembangkang serta menyusun strategi menghadapi cabaran politik mendatang, bukannya membuka ruang kepada polemik yang boleh melemahkan keyakinan rakyat terhadap PN," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, hubungan Pas dan Bersatu dalam PN ibarat retak menanti belah apabila parti Islam itu kini sedang mengkaji dan meneliti satu persatu percanggahan serta tindakan negatif yang dilakukan oleh rakan sekutunya itu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Bersatu menolak hasrat untuk memperkukuh PN dengan menyekat keahlian parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam tidak ekstrem adalah sesuatu yang tidak menyenangkan.
Menurut beliau, Pas mahu memperbanyakkan lagi penyertaan komponen dalam gabungan tersebut demi memperkasakan agenda Melayu-Islam, namun langkah itu tidak dipersetujui pihak berkenaan.
Tambah Afnan Hamimi, pemuda Pas menyokong penuh kenyataan Presiden berhubung isu penarikan sokongan dan Akuan Bersumpah (SD) melibatkan Bersatu Negeri Sembilan serta perkembangan isu politik semasa yang turut melibatkan hubungan kerjasama dalam PN.
"Pas turut menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan kebersamaan dalam PN serta menyokong segala usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara Pas dan Bersatu demi menghadapi Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri yang bakal menjelang," katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment