KOTA BHARU - Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad keluar dari PKR dan melepaskan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan serta Setiawangsa sama sekali tidak membuatkan parti itu 'goyah'.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, situasi tersebut bukan perkara luar biasa kerana PKR sudah melalui pelbagai episod politik sejak penubuhannya.
Menurut beliau, parti itu tetap kekal kukuh malah terus menerima pertambahan anggota dari semasa ke semasa.
"Goyah? Tak ada pun, tak goyah pun. Bahkan kita terus kekal kukuh. Ini sebahagian daripada proses demokrasi.
"Keadilan telah melalui banyak episod dan juga siri-siri di mana kita lihat ada pimpinan-pimpinan yang meninggalkan parti atas alasan dan hujah masing-masing.
"Tapi akhirnya yang membuat penilaian ialah rakyat di luar sana," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau merasmikan Program Sumbangan Komputer Riba dan Bantuan Awal Ke Institusi Pengajian Tinggi kepada anak-anak eKasih Cemerlang SPM 2025 Negeri Kelantan, Jajahan Kota Bharu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin cabang PKR yang dilaporkan meninggalkan parti sehingga menimbulkan tanggapan kononnya PKR semakin lemah.
Muhammad Kamil memberitahu, parti itu pernah berdepan cabaran lebih besar termasuk ketika tercetusnya Langkah Sheraton pada tahun 2020.
Menurut beliau, ketika itu ramai menjangkakan PKR akan lumpuh sepenuhnya, namun tanggapan tersebut meleset selepas parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Dulu pada 2020 ketika berlaku Langkah Sheraton, ramai yang menganggap pada waktu itu Keadilan akan lumpuh sepenuhnya.
"Tetapi ternyata fakta itu meleset apabila pada PRU15 kita berjaya membentuk kerajaan dan Perdana Menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Mengulas dakwaan bahawa tindakan melibatkan pimpinan tertentu termasuk bekas Timbalan Presiden PKR itu memberi kesan kepada parti, beliau menegaskan perkara itu tidak memberi impak signifikan kepada AMK mahupun PKR secara keseluruhan.
"Tak ada kesan apa, biasalah macam itu. Tidak ada kesan yang signifikan.
"AMK masih terus kekal utuh dan kukuh. Bahkan kita menyaksikan dari semasa ke semasa peningkatan dan pertambahan anggota yang menyertai Keadilan itu kian meningkat," katanya.
Terdahulu, Bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR mengumumkan keluar daripada parti berkenaan pada 17 Mei sekali gus mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment