JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor masih utuh dan tidak terjejas susulan bekas pemimpin dan ahlinya keluar parti dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Majlis Pimpinan Keadilan (MPN) Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, PKR masih tersusun dan terus bergerak mendekati rakyat di seluruh cabang tanpa terjejas oleh kehilangan beberapa individu meninggalkan perjuangan parti.
”Kejayaan penganjuran Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026, memberi semangat baharu dan memperkukuhkan terus ikatan antara parti-parti komponen khususnya PH Negeri Johor.
“Perjuangan Keadilan tidak dibina atas sentimen kekecewaan individu atau cita-cita peribadi mana-mana tokoh. Obor perjuangan ini adalah rakyat – daripada rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat,” menurut kenyataan tersebut.
MPN Johor menegaskan, fokus utama parti ketika ini adalah memperkukuh organisasi parti, memperluaskan gerak kerja penerangan serta memastikan agenda membela rakyat terus menjadi keutamaan dalam mendepani cabaran ekonomi dan sosial semasa.
PKR Johor yakin rakyat mampu menilai antara perjuangan yang lahir daripada idealisme reformasi tulen dengan gerakan yang terbina atas sentimen sementara.
Semalam bekas pemimpin dan ahli PKR Johor umum keluar parti dan memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Sementara Bersama Johor.
Ketuanya, Abdul Hamid Ali berkata, penubuhan jawatankuasa sementara itu dibuat selepas mereka mengambil keputusan meninggalkan PKR kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan serta proses pemilihan parti sebelum ini.
Beliau bekas Setiausaha MPN Keadilan Johor itu memberitahu, seramai 2,800 keahlian baharu Bersama sudah direkodkan dalam tempoh seminggu dan hampir 30 peratus daripada jumlah itu merupakan ahli PKR.
Bersama Johor juga menyasarkan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment