KUALA LUMPUR – Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya anak muda diingatkan tidak mudah terpesona dengan retorik politik dibawa Datuk Seri Rafizi Ramli.
Mantan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Yaakob Sapari berkata, prestasi dan kredibiliti pemimpin seharusnya dinilai berdasarkan merit kerja serta komitmen terhadap organisasi.
“Ramai di luar sana terpukau dengan gaya retorik Rafizi. Setelah memegang jawatan dalam parti dan kerajaan, politik bukan sekadar retorik. Politik dinilai daripada segi kerja.
“Saya nasihatkan adik-adik di luar sana, fikir masak-masak sebelum hendak masuk Bersama, bukannya sekadar bersandarkan kelancaran berbicara di pentas-pentas politik,” katanya menerusi hantaran terbaru di akaun Facebook hari ini.
Yaakob juga mendedahkan banyak kepincangan yang dilakukan bekas Ahli Parlimen Pandan itu ketika menggalas jawatan dalam kerajaan dan parti sebelum ini.
Beliau mendakwa, Rafizi tidak pernah mengadakan mahupun menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor sebelum ini.
“Rafizi adalah Ketua Cabang Pandan. Sebagai Ketua Cabang beliau adalah ahli MPN Selangor. Seingat saya Rafizi tidak pernah hadir dalam mesyuarat MPN Selangor,” dakwanya.
Sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, beliau mendakwa, Rafizi gagal mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN).
“Sebagai Timbalan Presiden PKR (ketika itu) beliau juga Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, seingat saya Rafizi tidak pernah memanggil mesyuarat dengan JPRN negeri-negeri,” dedahnya.
Malah usaha Yaakob untuk mengadakan pertemuan rasmi melalui surat bagi membincangkan strategi parti turut menemui jalan buntu apabila tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Saya pernah menulis surat untuk membuat pertemuan dengan dengan dia sampai ke sudah tidak dapat jumpa,” katanya.
Yaakob turut mempersoalkan komitmen Rafizi didakwa tidak turun padang bagi membantu jentera parti dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu.
“Sebagai Pengarah Pilihan Raya Pusat, Rafizi sepatutnya turun dalam mana PRK tetapi Rafizi tidak turun dalam mana mana Pilihanraya Kecil Negeri-Negeri, kecuali berceramah maki-hamun di PRK Sungai Bakap.
“Sepanjang jadi menteri, Rafizi tidak turun jumpa akar umbi parti,” dakwanya.
Dalam kenyataan sama, Yaakob turut memberi amaran keras kepada sayap muda parti agar berfikir secara matang sebelum menyatakan sokongan membuta-tuli kepada mana-mana tokoh politik.
Beliau berkata lagi, sebelum ini ramai ahli parti yang muda menyesal selepas memberikan kesetiaan kepada bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta mantan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin.
“Dulu ramai yang menyedal kerana ikut Azmin dan Zuraidah. Akhirnya di tinggal begitu sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment