BANGI, 23 ZULKAEDAH – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang akan bersara secara rasmi mulai esok, berazam untuk terus berkhidmat untuk rakyat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan menjadi ahli politik atau berniaga, tetapi SPRM akan menjadi sebahagian daripada radar pemerhatiannya.
“Saya orang lelaki yang tetap akan bekerja sehingga satu hari, dia dikerandakan dalam masjid. Ya, faham-fahamlah maksud itu.
“Saya akan bekerja menyumbang apa yang saya boleh kepada negara, kepada rakyat kerana perkara ini satu kepuasan kepada diri,” katanya dalam Podcast Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi oleh SPRM yang disiarkan di YouTube, hari ini.
Azam berikrar untuk terus memerhati dan menegur SPRM untuk kebaikan jika perlu berbuat demikian.
“Saya tidak akan marah pun (tindakan SPRM yang tidak dipersetujuinya), tetapi jika sudah sampai masa, mungkin saya nak bersuara, saya juga akan bersuara dengan memberi pandangan yang baik serta membina.
“Selepas saya bersara, jika perlukan perkongsian pengalaman, terutama rakan saya dari SPRM, anak buah saya yang perlukan nasihat, saya sentiasa sedia menyumbang. Saya juga senang, jika anda tanya, saya akan jawab,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya dalam program itu sama ada akan berkecimpung dalam dunia politik atau menjadi seorang ahli perniagaan, Azam berkata perkara itu tidak akan berlaku.
“(Masuk) politik itu jauh sekali, sebab politik bukan bidang saya. Perniagaan pun tidak, saya tidak pandai berniaga. Tetapi yang penting ialah bagaimana kita menguruskan dunia ini.
“Bila saya kata uruskan dunia ini, (maksudnya) uruskan dengan berhemah dan lebih baik, jadi orang berguna kepada masyarakat, diri sendiri dan keluarga. Jika kamu menjadi manusia yang tidak berfungsi langsung ia umpama mayat hidup,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment