BANGI, 23 ZULKAEDAH – Meskipun Sultan Selangor berulang kali menitahkan larangan serta menzahirkan pandangan berkaitan kawalan terhadap aktiviti penternakan babi di negeri itu, isu berkenaan terus menjadi perbahasan dalam ruang awam apabila ia masih dibangkitkan oleh pihak tertentu.
Perbezaan pandangan itu berlaku apabila sebahagian pihak terus mempertahankan keperluan industri penternakan berkenaan atas alasan ekonomi dan bekalan makanan, meskipun isu dasar, lokasi serta impak terhadap alam sekitar telah lama dibincangkan di peringkat negeri.
Bagi Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah, semua pihak perlu menghormati dan mengambil kira pendirian yang telah dizahirkan oleh Sultan Selangor dalam isu tersebut.
“Selangor sifar babi. Ini titah. Barulah Selangor Darul Ehsan. Jangan bawa ke Parlimen atau DUN lagi.
“Carilah tempat lain atau negeri yang terima babi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan bahawa isu tersebut sepatutnya tidak diperluaskan ke perbahasan politik peringkat lebih tinggi, sebaliknya diselesaikan di peringkat pentadbiran negeri mengikut kerangka dasar dan undang-undang sedia ada.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh mengenai kedudukan beberapa negeri lain yang terlibat dalam industri penternakan babi di Malaysia berdasarkan skala tertentu, termasuk Perak, Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor.
“Setakat ini, urutan ternakan babi terbesar adalah Perak Darul Ridzuan, diikuti Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya lagi.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berulang kali menzahirkan pendirian agar isu penternakan babi di negeri itu dihentikan dan dimuktamadkan, bagi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keharmonian rakyat terus terpelihara.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Selangor, Dato Mohamad Munir Bani sebelum ini turut memaklumkan bahawa baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Menurut beliau, pendirian itu dibuat dengan mengambil kira implikasi aktiviti penternakan berkenaan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar, termasuk risiko pencemaran tanah, udara serta sumber air sungai melalui sisa dan najis ternakan.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment