KUALA LUMPUR: ‘Malaysian Malaysia’ yang membawa prinsip ‘kesaksamaan’ kaum yang diperjuangkan DAP sudah terlaksana secara berperingkat kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri menegaskan, konsep ‘kesaksamaan’ yang diperjuangkan itu menurutnya telah menimbulkan pelbagai persoalan.
Pelbagai persoalan yang timbul itu menurut beliau terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi beraja, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Dasar Kebudayaan dan Pendidikan Kebangsaan.
“Selepas DAP menjadi parti yang memiliki jumlah kerusi Parlimen paling dominan dalam Kerajaan Madani, banyak dasar dan keputusan kerajaan dilaksanakan atas alasan kesaksamaan dan kesamarataan.
“Istilah seperti hak asasi manusia, kepelbagaian, keterangkuman dan pulangan ekonomi pula sering digunakan untuk merasionalkan tuntutan-tuntutan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, sesuatu dasar kerajaan tidak wajar diluluskan secara simplistik atas nama kesamarataan semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta dasar dan falsafah utama negara.
Sehubungan itu, beliau mengaitkan beberapa isu semasa sebagai contoh, antaranya penganjuran pesta ‘rain rave’ oleh Kementerian Pelancongan, cadangan penternakan babi di Selangor oleh Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Seri Kembangan, serta isu pembukaan laluan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada lepasan aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Turut disentuh beliau ialah isu penjualan dan hidangan arak, sama ada di kawasan majoriti Melayu mahupun dalam syarikat penerbangan nasional, yang menurutnya sering dijustifikasikan atas dasar kesamarataan.
“Kesemua tuntutan ‘kesamarataan’ mereka ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kepentingan nasional, dasar kebangsaan termasuk mengambil hak kaum lain sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Walaupun demikian, ia langsung tidak diendahkan kerana sifat cauvinis dan ultra kiasu mereka sudah terlalu tebal,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap apa yang disifatkan sebagai kecenderungan mencabar institusi dan batas kenegaraan, yang semakin ketara melalui pengaruh kuasa politik semasa dimiliki DAP.
“Dalam isu penternakan babi, Ronnie Liu dan Tony Pua dilihat memanipulasi Perlembagaan Persekutuan untuk menyanggah titah Tuanku Sultan Selangor.
“Di Pulau Pinang pula, Ketua Menteri daripada DAP menggunakan Peraturan Dewan dalam isu yang menyentuh hal ehwal Islam.
“Ini menunjukkan kecenderungan mencampuri urusan agama Islam dengan berselindung di sebalik tafsiran teknikal dan prosedur rasmi,” jelasnya.
Tambah beliau, kelantangan DAP dalam isu-isu berkenaan banyak bergantung kepada kekuatan politik parti itu di Parlimen.
“Jika kerusi DAP terus bertambah dalam PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang dan mereka kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan, tidak mustahil agenda ini akan digerakkan dengan lebih agresif,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya membuat pertimbangan sewajarnya dalam pilihan raya akan datang, kerana undi bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi menentukan hala tuju negara.
“Agenda DAP yang berselindung di sebalik slogan kesamarataan mesti dihentikan sebelum ia terus menghakis asas kenegaraan yang telah disepakati sejak awal pembentukan negara.
“Pada PRU dan PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang, rakyat mesti berani membuat keputusan, hentikan DAP dan sekutunya daripada terus bermaharajalela,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment