KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Hulu Selangor menyifatkan cadangan pemimpin PKR Selangor, Sathia Prakash, yang mahu wakil UMNO dipecat daripada pentadbiran negeri sebagai cubaan mengalih perhatian daripada kelemahan sendiri.
Ketuanya, Omar Al-Khattab Kasim berkata, tindakan mengheret isu politik dari negeri lain sebagai modal serangan terhadap UMNO di Selangor jelas menunjukkan pihak berkenaan ketandusan idea serta gagal menjawab pelbagai kelemahan pentadbiran negeri.
Menurutnya, isu yang berlaku di Negeri Sembilan tidak seharusnya dipolitikkan di Selangor kerana kedua-dua negeri mempunyai konteks dan cabaran berbeza, selain memberi gambaran seolah-olah wujud usaha mencetuskan perpecahan dalam kalangan Pakatan Harapan di Selangor.
“Pemuda UMNO Hulu Selangor ingin menegaskan, rakyat di Selangor kini berdepan isu lebih mendesak seperti kos sara hidup, banjir berulang, pembangunan tidak seimbang, peluang pekerjaan serta masalah perumahan yang memerlukan perhatian segera,” katanya dalam kenyataan.
Mereka turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang lantang menyerang lawan politik, namun berdiam diri terhadap polemik melibatkan ADUN Seri Kembangan berkaitan isu penternakan babi yang mencetuskan keresahan rakyat.
Menurutnya lagi, jika benar ingin memperjuangkan prinsip dan tanggungjawab, PKR Selangor seharusnya menegur barisan sendiri terlebih dahulu sebelum mendesak pihak lain.
“Pemuda UMNO Hulu Selangor turut mengingatkan agar semua pihak memberi keutamaan kepada titah Sultan Selangor, termasuk usaha menyelesaikan isu banjir yang berlarutan di negeri itu.
“Rakyat Selangor kini semakin matang dan mampu menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang sekadar bermain politik persepsi untuk menutup kelemahan sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment